suria

Gara-gara selipar Tun M, Bata dihujani 'soalan panas'

Gambar Dr Mahathir bersama selipar Bata yang kini tular. Foto Instagram azranshah

PETALING JAYA: Semua pihak kini terus memberi tumpuan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beliau kembali memimpin negara.

Dari gerak-gerinya, percakapan sehingga apa yang dipakai termasuk selipar milik perdana menteri ketujuh itu menjadi bualan ramai.

Terbaharu, selipar jenama Bata dalam gambar Dr Mahathir yang sedang duduk di kerusi dengan hanya berkaki ayam ketika menghadiri majlis makan malam, tular di media sosial.

Gara-gara selipar yang dipakai Dr Mahathir yang lebih dikenali sebagai Tun M, Bata kemudian memuat naik gambar sepasang selipar di halaman rasmi Facebooknya menjelaskan bahawa produk tersebut merupakan aksesori terhangat dijual di pasaran bagi Ramadan tahun ini.

Di ruangan komen, Bata turut menjawab pertanyaan netizen bahawa selipar yang dipakai Pengerusi Pakatan Harapan itu adalah rekaan empat tahun lalu.

Malahan di ruang komen, Bata menjawab pertanyaan netizen mengenal kesahihan selipar coklat yang dipakai Dr Mahathir.

"Ia adalah selipar keluaran Bata yang berada di pasaran lebih 20 tahun. Hari ini, seorang pengguna laman sosial Instagram telah berkongsi gambar Tun M memakainya," ujar Bata.


"Rekaan semasa telah diperbaharui dengan dalamannya kini dipanggil 'Sandak by Bata'. Tetapi ia adalah selipar yang sama," tambah Bata.

Rata-rata netizen meminta Bata supaya  mengembalikan rekaan selipar yang sama seperti kepunyaan Dr Mahathir.

"Bata yang disayangi, saya mahu yang serupa dengan Tun M.

"Kembali jual rekaan lama yang berusia empat tahun itu," antara beberapa luahan netizen.

Selain itu, netizen turut memberi beberapa cadangan seperti memperbanyakkan saiz yang lebih besar dan mempelbagaikan warna.

"Maaf ya, selipar ini cuma satu warna dari dulu lagi. Kekal dengan rekaan vintaj," jelas Bata.

Malah ada yang mencadangkan Bata untuk mendapatkan tandatangan perdana menteri untuk model sandal berkenaan.

"Kita cuba ya," kata Bata.

Model produk tersebut kini dijual pada harga RM11.99 di semua butik Bata di seluruh negara atau laman web Bata.

Bata, Dr Mahathir

Artikel Lain