suria

Isu ketua menteri: Shafie serah kepada mahkamah

Mohd Shafie Apdal.

SEMPORNA: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung saman difailkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman pada Khamis kepadanya serta Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Mohd Shafie berkata, perkara itu bukan masalah dan beliau akan mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

Malahan beliau berkata, Musa patut mencontohi bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang berundur diri secara budiman apabila tidak mendapat sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) sekali gus memberi laluan kepada Tun Sakaran Dandai menjadi ketua menteri pada tahun 1994.

"Saya masih ingat lagi, bila mana dia (Pairin) mengangkat sumpah dan membentuk kerajaan (tetapi) selepas itu dia hilang sejumlah sokongan Adun dan majoriti tidak cukup.

"Dia sebagai seorang budiman yang mematuhi undang-undang dan memahami undang-undang, tanpa ada sebarang bantahan terus menerima nasihat dan pandangan (letak jawatan) daripada TYT Tun Said Keruak (ketika itu) untuk membolehkan Tun Sakaran mengambil alih selaku ketua menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Masjid Pekan Semporna di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saman difailkan Musa yang mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie  sebagai Ketua Menteri oleh TYT adalah tidak berpelembagaan dan tidak sah.

Mohd Shafie berkata, selain kes Pairin itu terdapat contoh lain yang cukup jelas seperti di Perak iaitu kes bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak mendapat sokongan majoriti Adun maka beliau 'jatuh'.

"Berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah artikel 7, cukup  jelas menyatakan apabila ketua menteri tidak mempunyai cukup jumlah undi (yang dinyatakan majoriti keyakinan daripada Adun) maka atas penilaian dan pandangan TYT bahawa mana-mana ketua menteri berundur selain membubarkan Dewan Undangan  Negeri  atas persetujuannya," katanya lagi.

Sementara itu, beliau berharap rakyat dapat bersabar dan memberi ruang untuk kerajaan pimpinannya menunaikan segala perkara yang dijanjikan sebelum ini.

"Bersabar, bukan semudah itu kita boleh tunaikan segala janji yang kita telah umumkan, ini akan ambil sedikit masa.

"Tetapi Insya-Allah  saya sebagai seorang pemimpin jarang berjanji kalau saya tidak mampu menunaikannya,"  katanya dalam nada sebak dan disahut tepukan gemuruh kira-kira lebih 5,000 penduduk Semporna yang hadir ke majlis itu.

Di samping itu, Mohd Shafie berkata. kerajaan negeri dalam perancangan membawa masuk pelabur ke Sabah khususnya dalam sektor perindustrian dalam tempoh terdekat.

Inisiatif itu, katanya, seiring untuk merancakkan ekonomi pantai timur Sabah.

"Ini bakal menjana peluang pekerjaan kepada anak-anak kita di daerah-daerah berhampiran (dari tempat tinggal)," katanya. - Bernama

Shafie Apdal, Musa Aman

Artikel Lain