suria

Debat Syed Saddiq-Razali tak dapat lampu hijau

Syed Saddiq (kiri) dan Razali.

PAGOH: Debat yang dinanti-nantikan antara dua calon kerusi parlimen, tidak akan berlaku pada Ahad malam kerana tidak mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa.

Debat membabitkan calon Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Razali Ibrahim sepatutnya berlangsung di sebuah hotel di Muar pada pukul 9 malam.

Kedua-dua pihak telah bersetuju dengan tema debat iaitu "Barisan atau PH ke Putrajaya".

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihak polis menyifatkan debat yang dicadangkan itu tidak sesuai.

"Kami hanya menerima surat daripada pihak penganjur pada pukul 10.30 pagi hari ini dengan memaklumkan pihak polis tentang debat yang dicadangkan di sebuah hotel di Muar, dan bukannya permohonan untuk mengadakan acara berkenaan.

"Mengambil kira faktor keselamatan, mengadakan debat dengan notis singkat itu dianggap tidak sesuai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kepolisian di sini.

Beliau berkata, permit diperlukan untuk menganjurkan acara seumpama itu di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Tambah Mohd Khalil, penganjur debat akan melanggar undang-undang sekiranya debat diteruskan.

Syed Saddiq, Razali Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain