suria

“Sengit, sehingga lima penjuru di Selangor...”



SHAH ALAM: Pakatan Harapan Selangor menjangkakan beberapa kerusi di negeri itu akan berdepan pertandingan berbilang penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini memandangkan beberapa parti politik iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) telah menyatakan minat untuk bertanding di beberapa kerusi kawasan bandar.

"Kami jangka pertandingan sehingga lima penjuru di Selangor.

"Kami sudah biasa dengan senario ini kerana kami berdepan pertandingan 15 penjuru pada  pilihan raya kecil Bukit Selambau  pada 2009," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran jentera pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh Presidennya Datuk Seri Dr Wang Azizah Wan Ismail, di sini, Ahad.

Sebelum kajian semula persempadanan, PSM bercadang bertanding di dua kerusi parlimen iaitu Subang dan Hulu Langat serta empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  iaitu Pelabuhan Klang, Semenyih, Kota Damansara dan Sri Muda.

Susulan kajian semula persempadanan yang diluluskan dan diwartakan minggu lepas, Subang dinamakan semula sebagai Sungai Buloh sementara beberapa  kerusi DUN dipindahkan dari bawah satu kawasan parlimen ke kawasan parlimen lain.

Sementara itu, pada Sabtu PRM berkata ia akan bertanding di lima kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor, berkata tiada siapa menduga PKR yang ditubuhkan pada 1999 boleh bertahan selama 20 tahun sekalipun berdepan pelbagai cabaran.

"Suatu  ketika dulu, tiada siapa yang boleh yakin bahawa parti ini boleh ‘survive', ada yang keluar kenyataan Keadilan (PKR) hidup enam bulan tapi sekarang sudah 20 tahun.

"Orang yang menyatakan (hal) itu Insya-Allah akan gunakan logo PKR pada PRU14," katanya merujuk kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

-Bernama
Azmin Ali, lima penjuru

Artikel Lain