suria

Ibu bapa rebut segera Geran Sepadan SSPN1M

JITRA: Ibu bapa yang mempunyai anak berusia tujuh hingga 12 tahun disaran merebut segera insentif Geran Sepadan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M)  yang akan berakhir 31 Disember ini.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Abdul Ghaffar Yusop berkata, ini kerana setakat Mac lalu, hanya 60,000 daripada 500,000 akaun yang layak telah menerima Geran Sepadan tersebut dan jumlah itu masih agak kecil.

"Sehubungan itu ibu bapa seharusnya mengambil peluang ini untuk membuat penabungan di SSPN1M dan menikmati insentif yang diberikan kerajaan demi kepentingan anak-anak pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah peringkat parlimen Kubang Pasu di sini yang disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Menerusi insentif itu, ibu bapa yang membuat simpanan bersih sekurang-kurangnya RM500 dalam tahun ini akan diberikan simpanan percuma berjumlah RM500 yang akan dimasukkan secara automatik ke dalam akaun pendeposit yang layak apabila jumlah simpanan bersih terkumpul mencecah RM500.

Bagaimanapun Abdul Ghaffar berkata simpanan tersebut serta Geran Sepadan itu hanya boleh dikeluarkan apabila penerima manfaat mencecah usia 18 tahun.

Melalui Bajet 2018, sebanyak RM250 juta disediakan kepada 500,000 pencarum berumur tujuh hingga 12 tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang dijenamakan semula sebagai SSPN1M, kelolaan PTPTN.--Bernama  

SSPN1M

Artikel Lain