Keluarga Dihalau Kerana Anak Autisme, Ini Jawab Si Ayah! - Semasa | mStar

Keluarga Dihalau Kerana Anak Autisme, Ini Jawab Si Ayah!

PETALING JAYA: Hanya kerana tidak tahan dengan kerenah kanak-kanak autisme yang dianggap satu gangguan, sebuah keluarga mendakwa dihalau dari rumah yang didiami mereka.

“Malam ni saya dan keluarga dihalau dari rumah sebab anak autisme saya selalu menangis,” menurut satu posting yang dikongsi di kumpulan Facebook ‘Autisme Malaysia’, lewat malam Selasa.

Berdasarkan posting tular itu yang dimuat naik oleh seorang wanita yang menetap di Kuala Terengganu, dia meminta bantuan orang ramai mencari rumah untuk disewa di kawasan berkenaan.

"Saya kasihan anak saya selalu dimaki, bukan salah dia. Mohon tolong saya... saya cari yang murah saja. Janji dapat berteduh,” katanya.

Malahan, posting tersebut turut dikongsi aktivis terkenal, Syed Azmi Alhabshi di Facebooknya, yang turut meminta orang ramai menghulurkan bantuan kepada keluarga itu.

Posting mengenai isu melibatkan anak autisme di Facebook sehingga tular.

Suami kepada wanita berkenaan ketika dihubungi mStar Online pada Rabu menjelaskan bahawa dia ketika ini menyewa di salah sebuah unit kediaman milik keluarganya di Kampung Tepoh dan situasi ‘dihalau’ itu tercetus akibat perselisihan faham secara dalaman.

Hanya mahu dikenali sebagai Kamal, dia mengakui keadaan yang berlaku pada Selasa malam membabitkan anak lelakinya, Rayyan, 5, yang menghidap autisme dan Raisya, 4, yang ketika ini dalam pemantauan doktor berkemungkinan turut sama menghidapnya.

"Bila masing-masing dalam keadaan tertekan dan tegang, sudah tentu ada yang terlepas cakap. Saya faham kalau di luar kawalan pasti fikiran pun berserabut.

“Saya tak nak isu ini berpanjangan, saya cuba untuk meleraikannya supaya keadaan kembali reda antara kami sekeluarga dan adik-beradik,” kata lelaki berusia 41 tahun itu.

Kamal bersama isteri dan dua anaknya.

Bagaimanapun dia mengakui mempunyai rancangan untuk berpindah rumah demi keselesaannya sekeluarga terutama Rayyan dan Raisya.

Walaupun bercadang untuk meninggalkan rumah yang didiami sekarang, Kamal yang bekerja sebagai mekanik di Kuala Terengganu terpaksa menangguhkan hasrat itu berikutan masalah kewangan, dengan pendapatan kasarnya hanyalah kira-kira RM1,500 setiap bulan.

“Masalah utama sekarang adalah duit. Saya pernah beritahu isteri ‘kalau saya ada duit, sekarang juga saya panggil lori bawa barang-barang dan pindah’.

“Tapi sekarang ni semua perlukan duit, nak bayar deposit lagi. Gaji saya tak besar, mujur isteri bantu menjual kuih sedikit-sebanyak meringankan beban saya,” katanya.

Sehubungan itu, Kamal meminta orang ramai supaya tidak salah faham terhadap isu membabitkan keluarganya sebagaimana dalam posting isterinya yang tular.

Rayyan menghidap autisme.

Dalam pada itu dia turut berharap terdapat pihak yang sudi untuk menghulurkan bantuan dalam mencari rumah baharu di Kuala Terengganu pada kadar sewa murah.

Selain faktor kewangan, apa yang lebih penting bagi Kamal adalah lokasi rumah tersebut berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran, di mana anaknya Rayyan merupakan murid pendidikan khas di sekolah tersebut.

Tambahnya, ia termasuk lokasi berdekatan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi memudahkan Raisya membuat pemeriksaan kesihatan dan berjumpa dengan pakar terapi dari semasa ke semasa.

“Saya berharap kami dapat berpindah secepat mungkin, dengan bantuan dan kerjasama orang ramai,” ujar Kamal.

autisme

Artikel Sebelum

Harga Minyak Turun

Artikel Berikut

Rafizi Umum Tidak Bertanding PRU14

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Marcelo akui Real Madrid rindu Ronaldo

"Mereka tidak layak cakap pasal hoki"