suria

SPR Nafi Sistem Pilihan Raya Dimanipulasi Untuk Menangkan Parti Tertentu

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan ada manipulasi terhadap sistem pilihan raya dan persempadanan semula kawasan pilihan raya bertujuan  memenangkan parti-parti tertentu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menegaskan semua sistem pilihan raya yang dijalankannya seperti sistem pendaftaran pemilih, sistem perjalanan pilihan raya dan sistem persempadanan semula bahagian pilihan raya adalah telus dan adil.

“Artikel mendakwa  terdapat manipulasi sistem pilihan raya dan persempadanan semula bahagian pilihan raya yang dijalankan bertujuan  membantu kemenangan parti pemerintah pada PRU14 akan datang adalah bersifat tohmahan dan tidak berasas sama sekali serta berniat untuk mengelirukan.

“Apapun kritikan dan cadangan yang dikemukakan kepada SPR berkaitan sistem pilihan raya, ia tidak akan menjejaskan komitmen SPR dalam memastikan PRU14 berlangsung secara telus dan adil serta mematuhi semua proses perundangan berkaitan pilihan raya.

“SPR menegaskan bahawa tiada manipulasi sistem pilihan raya atau persempadanan semula dalam PRU14. SPR tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya yang akan berlangsung nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas artikel yang disiarkan The Economist bertajuk ‘How Malaysia's Next Election Will Be Rigged' pada 8 Mac lalu.

Berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya, Mohd Hashim berkata perkara itu dijalankan bukan untuk kepentingan politik semata-mata sebaliknya adalah untuk kepentingan dan keselesaan  keseluruhan pengundi dan juga memudahkan wakil rakyat di setiap bahagian untuk memberi khidmat.

“Persoalan terhadap penentuan kalah atau menang mana-mana pihak calon/parti adalah bergantung kepada usaha mereka dalam memenangi hati rakyat serta menarik sokongan pengundi untuk memilih mereka kerana pengundi mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pilihan mereka,” katanya.

Katanya sejarah  pilihan raya juga membuktikan bahawa persempadanan semula bukanlah faktor penentu kepada kemenangan mana-mana pihak sebaliknya ditentukan  oleh pilihan pengundi seperti yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak yang pernah diperintah oleh  parti pembangkang walaupun masih menguna pakai formula dan sistem persempadanan yang sama.

Menurutnya, 'gerrymandering' dan 'malapportionment' sering dijadikan alasan oleh pihak tersebut bahawa SPR telah melakar sesuatu kawasan pilihan raya bertujuan memberi kemenangan kepada parti tertentu.

Beliau berkata keputusan mahkamah yang memihak kepada SPR jelas membuktikan bahawa suruhanjaya itu telah mematuhi semua prinsip asas persempadanan semula berdasarkan  peruntukan yang digariskan dalam Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Berhubung persempadanan tidak sama rata, Mohd Hashim berkata formula perbandingan yang sering digunakan oleh pihak tersebut adalah tidak wajar dan berniat untuk mengelirukan rakyat.

Menjelaskannya dari sudut geografi dan populasi, beliau berkata walaupun parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN) luar bandar mempunyai keluasan yang lebih besar,  populasinya adalah lebih kecil manakala jenis petempatannya  pula adalah secara berselerak.

Ini berbeza dengan bahagian pilihan raya parlimen/DUN dalam kategori bandar, kerana walaupun keluasannya lebih kecil,  kepadatan penduduk adalah sangat tinggi sehingga ada yang mencecah lebih sejuta orang dan jenis petempatan pula adalah secara berkelompok/ berpusat.

“Syor persempadanan semula itu juga telah dirangka dengan mengambil kira semua cadangan serta maklum balas yang diterima daripada pembantah-pembantah yang layak mengikut undang-undang melalui representasi bantahan yang dikemukakan oleh mereka,” katanya.

Mohd Hashim berkata  tugas dan tanggungjawab SPR dalam melaksanakan urusan Kajian Persempadanan Semula telah selesai setelah  menyerahkan laporan akhir persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 Mac lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata syor yang dikemukakan SPR dalam laporan akhir tersebut masih lagi belum muktamad kerana perlu dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

“Oleh yang demikian, anggota Dewan Rakyat wajar mengambil peluang untuk membahaskan syor itu dan membuat keputusan sewajarnya. SPR telah menjalankan tanggungjawabnya selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hashim berkata dianggarkan lebih 200,000 ejen calon atau parti akan berada di hampir 30,000 tempat mengundi (saluran) untuk memantau proses PRU14 akan datang.

“Oleh yang demikian, dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa sistem pilihan raya akan dimanipulasi untuk memberi kemenangan kepada pihak parti tertentu adalah satu tohmahan yang bertujuan menimbulkan rasa kecurigaan dan mengelirukan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu katanya,  SPR ingin menasihati setiap calon atau parti yang bertanding supaya melantik wakil mereka secukupnya untuk bertugas sebagai pemerhati/ejen mereka dan menjadi saksi mata bahawa segala proses pilihan raya tersebut dilaksanakan dengan telus dan adil.

Sementara itu, Mohd Hashim berkata SPR menyarankan semua pihak mengamalkan politik matang selain  tidak mudah mempercayai dakwaan liar yang dibuat pihak tertentu yang bertujuan menimbulkan kecurigaan terhadap kredibiliti sistem dan badan yang menjalankannya.

“Dalam situasi politik terkini, adalah tidak wajar SPR dan sistem yang dilaksanakannya dijadikan bahan propaganda atau dijadikan modal politik oleh pihak-pihak berkenaan.

“SPR akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sekiranya didapati ada pihak yang cuba menyebarkan berita palsu dan menimbulkan kegemparan serta menjejaskan proses PRU14 nanti,” katanya.

Mohd Hashim berkata SPR akan terus menjalankan usaha-usaha penerangan dan penjelasan yang lebih menyeluruh kepada masyarakat berlandaskan fakta dan situasi sebenar berhubung sistem pilihan raya, sistem pendaftaran pemilih dan sistem persempadanan semula yang diamalkan supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tuduhan liar yang dilemparkan kepada suruhanjaya itu.--Bernama

SPR, PRU14

Artikel Lain