Bicara Kes Bunuh 23 Penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 30 Mei - Semasa | mStar

Bicara Kes Bunuh 23 Penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 30 Mei

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 12 hari bermula 30 Mei untuk perbicaraan kes dua remaja yang didakwa atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah,  dalam kejadian kebakaran yang menyayat hati, September tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 30 Mei hingga  31 Mei,  2 hingga 6 Julai serta 9 hingga 13 Julai  untuk perbicaraan kes itu semasa sebutan kes tersebut.

Terdahulu Hakim Azman menolak bantahan awal pihak pendakwaan supaya firma guaman Tetuan Gobind Singh Deo  and  Co dikecualikan atau dilarang mewakili kedua-dua tertuduh remaja itu.

Hakim itu berkata  mengikut Perlembagaan Persekutuan setiap individu mempunyai hak untuk memilih mana-mana peguam bagi mewakili mereka.

"Pihak pembelaan juga telah menjelaskan tidak akan berlaku apa-apa pertalian atau kaitan dengan dua saksi pendakwaan," katanya.

Sehubungan itu firma guaman tersebut boleh mewakili kedua-dua remaja itu. Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Gobind Singh Deo bertindak bagi pihak kedua-dua remaja itu.

Pada 30 Jan lepas, pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal supaya peguam daripada firma guaman tersebut dikecualikan atau dilarang mewakili kedua-dua remaja berkenaan dengan alasan firma itu telah mewakili dua tertuduh lain di Mahkamah Majistret.

Pihak pendakwaan berkata ini kerana kedua-dua remaja itu merupakan saksi utama dalam kes itu dan oleh itu pihak pembelaan mempunyai akses dan keterangan yang bakal digunakan semasa perbicaraan nanti.

Dua remaja lelaki itu didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Kedua-dua remaja itu masing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan  bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Namun, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan supaya  ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Turut hadir dalam prosiding hari ini Ahmad Nazrin Abu Bakar bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak pusat tahfiz dan keluarga mangsa.Dalam kejadian kira-kira 5.15 pagi, 14 September 2017, seramai 23 penghuni maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz itu yang terbakar.- Bernama

Lebih Artikel