suria

Staf Masih Fikir Bos Lepas Kena Langgar Bas, Ini Jawab Syarikat

Mangsa masih sempat mendial nombor telefon majikannya semasa mengalami kemalangan. Foto paparan skrin video pengguna Facebook Razali Raihayu

PETALING JAYA: Seorang kakitangan sebuah syarikat ‘bertarung nyawa’ selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan motosikal, bas dan lori di di Singapura, minggu lalu.

Mangsa bernasib baik kerana dalam keadaan dirinya terbaring di atas jalan di Lebuhraya Pan-Island (PIE), seorang lelaki yang menunggang motosikal berhenti memberi bantuan kecemasan.

Walaupun dalam keadaan sakit, mangsa lebih memikirkan untuk memberitahu bosnya tentang kemalangan itu dan berusaha untuk memaklumkan bahawa dia akan lewat ke pejabat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja Dilanggar Bas, Sempat Suruh Telefon Bos Beritahu Masuk Lewat

Kisah tersebut tular apabila posting mengenai kejadian dikongsi oleh Razali Tompang, 40 di kumpulan Facebook, dengan ayat pertama mangsa kepadanya ialah: “Bang, tolong hubungi bos saya, beritahu dia saya akan masuk lambat.”

Razali diminta untuk memberitahu majikan mangsa mengenai mangsa akan lewat ke tempat kerja.

Syarikat Aldo Warehouse and Transporation Pte Ltd pada Isnin tampil membuat kenyataan di halaman Facebooknya bahawa mangsa kemalangan yang dibantu Razali adalah kakitangannya, Kartigesu Annamalai.

Syarikat yang berpangkalan di Singapura itu mengucapkan terima kasih kepada Razali kerana menyedari kemalangan itu dan segera tampil memberikan bantuan.

“Razali menunjukkan belas kasihannya kepada Karthigesu dan tindakan pantasnya mengelakkan Kartigesu kehilangan banyak darah dan kecederaan yang lebih parah.

“Malahan, tindakan Razali menunggu Kartigesu sehingga pasukan paramedik tiba di tempat kejadian merupakan satu tindakan yang wajar dicontohi,” katanya.

Razali (kanan) membantu Kartigesu sehingga pasukan paramedik tiba di tempat kejadian.

Menurut kenyataan itu, Kartigesu baru saja selesai menjalani pembedahan, dan syarikat kini memberi sokongan dalam membantu untuk memulihkannya.

“Kami berterima kasih di atas ucapan dan keprihatinan netizen,” kata syarikat itu sambil menambah bahawa penggantian terhadap barang yang rosak dan hilang untuk penghantaran bagi pihak Kartigesu akan diatur dan dijadualkan semula.

Syarikat turut memuji Kartigesu kerana bertanggungjawab dengan memaklumkan pihak atasan sebaik timbul isu yang akan mempengaruhi tugasnya pada hari tersebut.

Sementara itu, bercakap kepada mStar Online, Razali turut memuji Kartigesu yang disifatkan sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap majikan dan syarikat. 

“Sehinggakan tiga kali meminta saya untuk menghubungi majikan. Pada kali ketiga, mangsa terus mengambil telefon bimbitnya dan menghubungi majikannya.

“Dia wajar dipuji, bertanggungjawab terhadap kerja dan bersungguh-sungguh untuk memberitahu majikan supaya tiada sebarang masalah di tempat kerja,” katanya sambil mendoakan agar Kartigesu cepat sembuh dan kembali bertugas dengan selamat.

Razali Tompang.

Ketika kejadian pada petang Isnin lalu, Razali yang berkhidmat dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan Singapura sedang menuju ke rumahnya di Johor Bahru dari tempat kerjanya di Eunos, Singapura.

Razali yang merupakan pemberi bantuan kecemasan bertauliah mendedahkan ini bukan kali pertama dia membantu mangsa kemalangan di jalan raya, tetapi telah membantu lebih 10 mangsa di sekitar Johor dan Singapura.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia ini menasihatkan supaya lebih ramai lagi orang awam mempelajari ilmu bantuan kecemasan kerana ia amat berguna.

“Pelajari dengan betul dan bantulah mangsa yang memerlukan. Jangan ambil dan muat naik gambar atau video mangsa, serta jangan sebarkan maklumat peribadi, biarkan polis melaksanakan tugas mereka,” ujar Razali.

Artikel Lain