suria

Laporan Unicef Kanak-Kanak PPR Bantut Tak Benar - Mahdzir

Mahdzir Khalid.

KUALA LUMPUR: Laporan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bahawa kanak-kanak dari kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur mengalami masalah bantut dan kurus adalah tidak benar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian sendiri tidak pernah menerima sebarang laporan daripada guru mengenai murid terbantut dan tidak mampu membeli makanan.

“Kita ada kajian. Tak adalah (kes) di sekolah menunjukkan budak tidak mampu (makan) sehingga begitu teruk sekali. Setakat ini tak ada lagi laporan daripada guru,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang mahu penjelasan kementerian mengenai laporan Unicef berkenaan yang diterbitkan baru-baru ini.

Ia antara lain mendakwa kanak-kanak yang menetap di PPR di sekitar Kuala Lumpur lebih ramai terkesan dengan masalah itu berbanding kanak-kanak di kawasan lain.

Mahdzir berkata, kerajaan juga melaksanakan pelbagai inisiatif memastikan kesejahteraan murid di negara ini dijaga, termasuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk manfaat 458,483 murid sekolah rendah daripada golongan perpendapatan rendah dan luar bandar tahun ini.

Katanya, program RMT dimanfaatkan 515,028 murid pada tahun lepas; 538,620 murid (2016); 536,103 murid (2015) dan 559,383 murid (2014).   

Mahdzir berkata, kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mengadakan pemeriksaan mata dan gigi secara berkala terhadap murid serta pemeriksaan kes talasemia.

Jelasnya, murid yang mengalami masalah kesihatan akan dirujuk ke klinik atau hospital untuk rawatan susulan.

“Selain itu, ujian standard kecergasan fizikal murid Malaysia (Segak) untuk pelajar sekolah juga diadakan untuk memastikan tahap kesihatan mereka memuaskan,” katanya. - Bernama

PPR, Unicef

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain