suria

Isteri Sakit Nak Bersalin, Suami Ugut Lafaz Taklik Jika Bayi Disambut Doktor Lelaki

Seorang lelaki memberi amaran agar hanya doktor wanita yang menyambut kelahiran bayinya atau isterinya akan diceraikan dengan talak satu. - Gambar hiasan/ Facebook

PETALING JAYA: Talak taklik yang dilafazkan adalah untuk memberi perlindungan kepada golongan wanita, namun telah disalahgunakan oleh seorang lelaki tatkala isterinya sedang menggadai nyawa untuk melahirkan zuriat mereka.

Lafaz yang berbaur amaran oleh lelaki terbabit dikongsikan oleh seorang Pegawai Perubatan Latihan Siswazah atau houseman, Ayie Mahadi menerusi laman Facebook dan telah mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Menurut posting tersebut, Ayie Mahadi menceritakan pengalamannya berdepan situasi mengejutkan apabila seorang lelaki tergamak memberi amaran kepada kakitangan hospital agar doktor perempuan sahaja dibenarkan menyambut dan menguruskan isterinya ketika bersalin atau jatuh talak satu ke atas wanita tersebut.

"Terkejut kami mendengar apa yang suami itu sebut (lafazkan). Saya perhati dari atas bawah suami itu, langsung tiada perwatakan seorang ustaz yang mungkin boleh dikatakan sesetengahnya akan betul-betul jumud dalam menjaga aurat para isteri.

"Ya, memang mustahil sekali! Mana mungkin seorang ustaz yang berilmu sanggup melafazkan cerai taklik di hadapan isteri sendiri dan orang ramai. Lagi-lagi cerai taklik yang tak masuk akal," dakwanya pada posting tersebut.

Coretan Ayie Mahadi itu tular sejak 1 Mac lalu sehingga menerima lebih 1,300 tanda suka (like) dan 739 perkongsian.

Posting yang dimuat naik oleh houseman, Ayie Mahadi pada 1 Mac lalu tular di Facebook.

Dakwa doktor tersebut, biarpun permintaan si suami berjaya dituruti pihak hospital, namun timbul masalah lain apabila seorang pegawai perubatan lelaki bukan Muslim yang tidak mengetahui tentang lafaz taklik telah membuat pemeriksaan ke atas wanita berkenaan selepas proses melahirkan bayi selamat dijalankan.

"Si isteri itu lantas diperiksa oleh pegawai perubatan lelaki (bukan muslim) yang memang langsung tak tahu menahu tentang isu taklik tersebut. Beliau hanya menjalankan tugas yang diamanahkan Kementerian Kesihatan sebagai seorang doktor.

"Agak-agak jatuh ke tidak talak si suami kepada isteri tersebut? Entahlah saya pun tidak pasti. Mungkin jatuh, mungkin tidak," soal Ayie Mahadi.

Seorang netizen, Feeza Hafeeza berkata: "Kenapa suami dia tak sambut sendiri kelahiran anak tu? Kenapa dia sendiri tidak bekerja sebagai doktor?

"Ada juga ya suami macam ini. Kalau saya jadi isteri tu, saya pergi rujuk pejabat agama. Hal nikah cerai jangan dibuat main, takut kalau jatuh talak, hidup dalam zina pula," tulis wanita tersebut.

Manakala seorang lagi netizen, Rabi'atul Adawiyyah Ashari pula berkata: "Apa kes main-main dengan cerai ni? Isteri tengah berjuang untuk bersalin, dia sibuk nak bagi taklik.

"Islam itu mudah tapi jangan ambil mudah wahai suami," katanya.

Muhamad Subki.

Bagi merungkai persoalan tersebut, mStar Online mendapatkan jawapan daripada penceramah bebas bertauliah, Muhamad Subki Shaari tentang lafaz taklik yang dibuat lelaki terbabit agar dilema berkaitan isu itu dapat dijelaskan.

Kata penceramah yang mendapat pendidikan sistem pengajian pondok dalam bidang Usuluddin, Fekah dan Tasawuf itu, syarat-syarat yang dikaitkan dengan berlakunya sesuatu perkara adalah diambil kira oleh syarak selagi ia tidak mengharamkan perkara halal atau menghalalkan perkara haram.

"Menurut kitab feqah mazhaf Imam Syafie (Fiqhul Manhaji), talak taklik (tergantung) adalah apabila si suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat (yang difahami) atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya atau orang lain.

"Contohnya, suami mengaitkan talak dengan tindakan tertentu yang dilakukan oleh isterinya atau orang lain," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Jelasnya, pihak suami perlu merujuk kepada pejabat agama Islam atau mahkamah syariah berdekatan dengan tempat tinggal untuk mendapatkan jawapan yang sebenar bagi menyelamatkan rumahtangga mereka.

Tegas Muhamad Subki, netizen juga tidak sewajarnya menjadi hakim dalam isu tersebut kerana ia melibatkan institusi yang lebih arif dan berkuasa serta bertanggungjawab dalam hal membabitkan penceraian.

talak, talik

Artikel Lain