suria

MH370: “Andainya Mak Dah Tak Ada...”

Kamariah pada majlis memperingati insiden MH370 yang memasuki tahun keempat di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Ibu mana yang tidak sayangkan anak, dan begitulah keperitan yang terpaksa ditanggung seorang wanita yang setia menanti kepulangan anaknya sejak kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 empat tahun lalu.

Bagi Kamariah Sarip, dia masih menaruh harapan menanti khabar berita anaknya, Mohd Razahan Zamani yang merupakan salah seorang daripada 227 penumpang yang menaiki pesawat itu.

Walaupun dihimpit pelbagai spekulasi mengenai anaknya dan pesawat malang itu, tetapi ibu berusia 59 tahun ini tetap yakin bahawa anaknya masih ada.

“Nak cakap apa, cakaplah. Saya berserah kepada Allah SWT yang menentukan segalanya. Bukan senang nak hadapinya selama empat tahun. 

“Suami dah meninggal pada 2016, saya dah rasa macam patah kepak kiri kanan. Anak dah hilang, suami dah meninggal,” katanya dengan nada sebak pada majlis memperingati insiden MH370 yang memasuki tahun keempat di sini, Sabtu. 

Kamariah menunjukkan gambarnya bersama Mohd Razahan dan menantunya, Norlia.

Majlis yang dihadiri beberapa waris dan keluarga mangsa MH370 turut disertai Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. 

Bagi mengubati kerinduan, Kamariah memberitahu banyak barangan peribadi anaknya disimpan sehingga kini sebagai kenangan-kenangan.

“Banyak baju dia masih disimpan, dari zaman dia kecil, bujang sampailah dah berkahwin. Itulah kerinduan... bila kita rindu, kita cium baju dia.

“Anak kita, terlalu rindu sangat. Kadang-kadang saya menangis dan berkata ‘bilalah mak dapat jumpa kau Razahan, seandainya mak dah tak ada di dunia ini, mak tak dapat jumpa kau,” katanya.

Namun Kamariah berkata, dia akan terus menempuh cabaran dan dugaan itu bagi menguatkan lagi semangatnya menjalani kehidupan.

Gambar bersama anak dan menantu dijadikan 'wallpaper' di telefon bimbit.

Jelas ibu empat anak ini, dia akan terus mendoakan yang terbaik buat anaknya dan berserah kepada Allah.

“Kita hanya mampu berdoa untuk dia. Allah tahu di mana dia berada. Anakku... mak tetap menunggu kau selagi hayat mak ada,” katanya sambil bergenang air mata.

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac 2014. Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. 

Dilaporkan pada hari kejadian, Mohd Razahan, 23, yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu berlepas ke Beijing bersama isterinya, Norlia Akmar Hamid, 33, untuk menikmati percutian bulan madu mereka.

Pasangan suami isteri yang sudah berkahwin selama dua tahun ketika itu baru berkesempatan berbulan madu.

Artikel Lain