suria

Tangan Putus, Kaki Hancur Bom Ikan Meletup

Gambar kecederaan mangsa yang tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApps.

KOTA BHARU: Seorang lelaki hancur kedua belah kaki, lengan kiri dan rahang, manakala putus tangan kanan selepas bom buatan sendiri meletup di Kampung Chegar Bedil, Jeli, Jumaat.

Kejadian berlaku jam 2.30 petang apabila mangsa, Mohd Fadil Abdullah, 27, dikatakan menggunakan bom itu untuk menangkap ikan bersama sekumpulan rakannya di Sungai Suam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, bom yang dipasang mereka tidak meletup menyebabkan mangsa cuba untuk melihat bom terbabit secara dekat.

“Ketika itu, bom tersebut meletup dan letupan terbabit kena pada mangsa menyebabkan dia mengalami kecederaan parah iaitu putus pergelangan tangan kanan, manakala tapak tangan, lengan kiri dan rahang serta kedua-dua kakinya pula hancur.

“Mangsa dibantu rakannya dibawa keluar dari kawasan itu dan dihantar ke Hospital Jeli sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, setakat petang Sabtu, pihaknya belum menerima laporan dan masih menunggu keadaan mangsa pulih bagi mengambil keterangan untuk menjalankan siasatan.

“Bom tersebut dipercayai buatan sendiri yang dibawa ke kawasan itu dan digunakan untuk menangkap ikan, namun kami masih lagi menunggu laporan daripada pihak mangsa atau keluarganya.

“Sehubungan itu, kami meminta keluarga untuk tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Kes berkenaan turut tular sejak Jumaat apabila gambar ngeri kecederaan mangsa dikongsi di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApps. - Sinar Online

bom ikan

Artikel Lain