suria

Sekolah Syria Care Kena Bom, Bukit Dikorek Lindungi Kanak-Kanak

PETALING JAYA: Sekolah tajaan rakyat Malaysia melalui Syria Care mengalami kerosakan teruk selepas dibom tentera regim Bashar al-Assad dan pengikutnya.

Menurut sukarelawan Syria Care, Razali Awang, lima serangan telah terkena Madrasah Sunna'ul Majd yang terletak di Kafr Batna, Timur Ghoutah.

Dalam serangan pada 22 Februari lalu, ia mengakibatkan kemusnahan bilik darjah, ruang penjana kuasa dan pejabat pentadbiran.



Turut rosak, alat bantuan mengajar. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan korban dilaporkan kerana ia berlaku ketika pelajar tiada di sekolah.

"Madrasah Sunna'ul Majd ditaja rakyat negara ini sejak 2016 dan ia menjadi tumpuan utama kerana kualiti pendidikan yang ditawarkan.

"Pada masa sekarang terdapat lebih 300 pelajar yang berusia enam hingga 18 tahun yang mendapat pendidikan di situ.


"Bagaimanapun sejak dua bulan lalu, mereka tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran berikutan peningkatan serangan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Razali berkata, terdapat lebih kurang 300 orang kanak-kanak di sekolah itu sejak ia dibuka.

"Sejak dua bulan lalu sekolah memang telah ditutup dan dijadikan tempat perlindungan kanak-kanak. Dan apabila tidak selamat, mereka semua dibawa ke sebuah bukit yang telah dikorek (kedalaman lima kaki) untuk perlindungan.

"Tetapi saya baharu mendapat berita bahawa pihak regim menggunakan pengimbas untuk memantau pergerakan bawah tanah. Sekiranya terjumpa, mereka akan dibom.

"Pihak regim memang ingin membersihkan tanah Syria ini dan ingin menguasai sepenuhnya. Mereka menganggap sesiapa yang menentang, tidak layak untuk hidup," ujarnya.

Dalam masa sama Razali yang turut beremosi tentang jumlah kanak-kanak yang masih hidup.

"Setiap satu haribulan sukarelawan akan menyerahkan makanan kepada kanak-kanak. Dan saya tidak tahu berapa ramai yang akan datang. Semoga kanak-kanak ini selamat," katanya.

Di bawah program tajaan yang dikendalikan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan, segala kos pendidikan dan yang berkaitan dengannya ditanggung rakyat Malaysia menerusi dana yang diuruskan Syria Care.

Syria Care, Bom

Artikel Lain