suria

Video Tangkap Suspek Dadah Di Lapangan Terbang Sandakan Tular

PETALING JAYA: Klip video menunjukkan serbuan dan tangkapan ke atas lima suspek pengedar dadah ketika mendarat di lapangan terbang Sandakan, tular di media sosial.

Video tersebut menunjukkan satu pasukan anggota Jabatan Kastam bersama polis lapangan terbang untuk menangkap salah seorang suspek yang cuba melarikan diri dari balai ketibaan lapangan terbang.

Rakaman itu dikongsi dalam kalangan pengguna WhatsApp susulan kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 9.30 pagi Selasa. 

Pengarah Kastam Sabah, Hamzah Sundang ketika dihubungi berkata, beliau menyedari video berkenaan tular di media sosial. 

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berikutan kes tersebut sedang disiasat.

Namun katanya, sidang media mengenai kes berkenaan akan diadakan.

Beberapa saksi di lapangan terbang Sandakan mendakwa lima suspek lelaki tiba menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur.

Pasukan Kastam segera menahan suspek yang sedang mengambil beg di tempat bagasi.

Difahamkan lima beg dirampas dan dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.

Kelima-lima suspek kini disiasat pegawai Kastam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain