suria

PRU-14: Khalid Ibrahim Bantu BN Rampas Selangor

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar (tengah) bergambar dengan Abdul Khalid (kiri) dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (kanan) selepas sidang media Majlis Konvensyen Umno Selangor 2017 di PWTC, Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan membantu Barisan Nasional (BN) untuk merampas Selangor daripada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

"Saya sedia membantu Umno dan BN di Selangor dan bersama dengan yang lain sekiranya ia adalah untuk kebaikan dan kemakmuran rakyat dan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan Konvensyen Umno Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, beliau akan menggunakan pengalaman dan pengaruhnya untuk meraih sokongan untuk BN.

Pada Oktober lalu selepas menghadiri majlis hi-tea oleh PAS Selangor, Abdul Khalid berkata, beliau akan berkempen untuk parti Islam pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya masih (wakil rakyat) bebas dan ada yang baik dalam hal ini, memberikan saya kebebasan untuk bekerjasama dengan sesiapa yang membantu menyatupadukan demi kebaikan negara," katanya.

Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang menambah, beliau tidak akan mempertahankan kerusinya pada PRU-14.

"Tidak timbul sama sekali mengenai kebimbangan bahawa saya membantu supaya saya dapat menjamin kerusi dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Abdul Khalid dipecat daripada PKR kerana enggan mengosongkan jawatan menteri besar Selangor pada 2014.

Khalid Ibrahim, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain