suria

Pasangan Ditahan Kes Bunuh Kekasih Suami

KAMPAR: Polis menahan sepasang suami isteri disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang wanita yang ditemukan dengan kesan jerutan di leher di sebuah ladang kelapa sawit di Taman Permai, Mambang Di Awan di sini, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata, kedua-dua suspek yang berumur 46 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah malam Jumaat.

Kong Soon berkata, suspek lelaki tersebut ditahan di rumahnya manakala isterinya ditahan ketika dipanggil ke balai polis dan kedua-duanya kini ditahan reman sehingga 7 Disember bermula Sabtu.

"Setakat ini, siasatan awal mendapati suspek lelaki tersebut merupakan kekasih kepada mangsa.

"Bagaimanapun, kami masih lagi menyiasat motif sebenar pembunuhan tersebut dan kami yakin dapat mencari senjata yang digunakan dalam kes ini dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan media di sini, Sabtu.

Kong Soon berkata, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian adalah disebabkan kesan objek tumpul yang dipukul secara bertubi-tubi di bahagian kepala.

"Berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa sebelum kejadian. Hasil bedah siasat ke atas mangsa juga mendapati dia tidak dirogol," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

S. Letchumi, 28, dari Bandar Baru Kampar, ditemukan dalam keadaan terlentang oleh seorang lelaki berusia 60 tahun yang datang ke ladang itu untuk mencari cendawan pada kira-kira 1 tengah hari semalam dan dipercayai dibunuh kurang daripada tempoh 24 jam. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain