suria

Wanita Rugi RM90,000 Terpedaya Panggilan Telefon

Gambar hiasan. Foto videoblocks.com

KLANG: Seorang wanita kerugian RM90,000 selepas terpedaya kononnya dia terlibat dalam skim pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa menerima satu panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai seorang eksekutif bank pada 30 November lalu dengan menyatakan bahawa dia mempunyai tunggakan pinjaman.

"Apabila dia menafikan mempunyai sebarang pinjaman dengan bank berkenaan, lelaki itu mahu menyambungkan talian kepada ibu pejabat polis Perak di mana dia diberitahu bahawa butirannya telah digunakan untuk mendapatkan satu pinjaman bank," katanya.

Pemanggil turut meminta mangsa membaca kad pengenalannya sebelum memberitahu dia dalam senarai dikehendaki polis kerana pengubahan wang haram.

Lelaki yang mendakwa dirinya berpangkat inspektor itu memberitahu bahawa mangsa boleh ditahan polis selama 45 hari sekiranya enggan memberikan kerjasama.

Wanita yang bimbang akan ditahan kemudiannya menyerahkan butiran seperti akaun bank syarikat dan log masuk perbankan dalam taliannya.

'Inspektor' tersebut turut memberitahu mangsa bahawa dia terpaksa menyerahkan wangnya untuk diaudit dan memberi jaminan mengenai simpanan itu akan dikembalikan selepas siasatan dijalankan.

Dia mematuhi permintaan 'Inspektor' berkenaan sehingga menerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC) di telefon bimbit yang dibacakannya.

"Ia berlaku kira-kira sembilan kali dan 'Inspektor' memberi jaminan bahawa wangnya akan dikembalikan kira-kira pukul 4 petang pada 1 Disember," katanya.

Shamsul berkata, mangsa kemudian berjumpa dengan jirannya yang juga anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi memaklumkan perkara tersebut.

"Jirannya yang berasa curiga memberitahu dia mungkin menjadi mangsa penipuan," katanya.

Mangsa turut disahkan oleh pihak bank bahawa dia telah melakukan sembilan transaksi kepada satu akaun yang tidak dikenali.

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Artikel Berikut

Artikel Lain