suria

Persediaan Hadapi PRU14 Pada Skala 9.5 - Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. -fotoTHESTAR

KUALA LUMPUR: Kesediaan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kini berada pada tahap 9.5 dalam skala 1 hingga 10, ujar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas mengenai hari besar itu, beliau berkata, ia berkemungkinan bakal diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 16 Februari tahun hadapan.

"Sebagai ketua yang dilantik oleh perdana menteri dan pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memastikan kesediaan dalam menghadapi pilihan raya, kami akan turun ke peringkat akar umbi sejurus perdana menteri membuat pengumuman mengenainya.

Ahmad Zahid ketika temuramah bersama Kumpulan Media Star. -fotoTHESTAR

"Saya boleh meletakkan kesediaan kami sekarang pada tahap 9.5 dalam skala 1 hingga 10," ujar Ahmad Zahid dalam temu bual eksklusif bersama Kumpulan Media Star.

Pemerintahan lima tahun BN akan berakhir pada 24 Jun tahun hadapan dan PRU14 mestilah diadakan dalam tempoh 60 hari setelah parlimen dibubarkan.

Disoal mengenai bayangan awal PRU14 yang dinyatakan olehnya pada 26 November lalu,  dia menjawab ia akan diadakan selepas Tahun Baru Cina.

"Saya sudah bagi indikasi sebanyak dua kali menerusi dua acara yang saya hadiri sebelum ini. Ia akan diadakan pada tahun hadapan.

"Sewaktu saya berjumpa komuniti Cina di Bagan Datuk baru-baru ini, saya memberitahu mereka supaya bersedia dengan hari besar selepas sambutan Tahun Baru Cina," ujar beliau.

-fotoTHESTAR

Namun, ia tidak bermakna pilihan raya akan terus diadakan sejurus berakhirnya sambutan perayaan berkenaan.

Pada 2008, parlimen dibubarkan pada 13 Februari, enam hari selepas perayaan Tahun Baru Cina dan pengundian diadakan pada 8 Mac.

Menurut Ahmad Zahid, jentera pilihan raya BN sudah diaktifkan di peringkat negeri dan peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

-fotoTHESTAR

Difahamkan beliau akan melawat semua negeri pada setiap bulan untuk memantau situasi dan melihat kesediaan jentera pilihan raya di peringkat berkenaan.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata, BN akan membentangkan manifesto khusus buat Selangor dan Pulau Pinang.

-fotoTHESTAR

"Dalam manifesto utama, kami akan memasukkan item-item yang diperlukan oleh setiap kawasan.

"Kami juga akan melihat apa yang diperlukan oleh setiap kerajaan negeri. Namun, semua ini tertakluk kepada kapasiti yang kita ada," ujar beliau.

Selain memastikan sokongan daripada ahli Umno dan penyokong lama, parti itu juga perlu memenangi undi daripada golongan pertengahan dan pengundi atas pagar.

"Kita tidak boleh menang PRU14 dengan undi dari penyokong BN dan Umno sahaja," tambahnya lagi.

PRU14, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain