suria

TN50: Pendapat Rakyat Sabah Dibukukan

Yamani Hafez semasa sesi dialog TN50 dengan para penuntut UiTM Sepanggar Sabah.

KOTA KINABALU: Pandangan dan idea yang dikongsikan melalui dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) sangat penting untuk memastikan keperluan lebih 30 kaum di Sabah dapat dipenuhi menjelang 2050, kata Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Sabah Yamani Hafez Musa.

Beliau berkata pandangan yang diutarakan akan dijadikan panduan untuk memastikan semua kaum di Sabah tidak ketinggalan dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain menjelang 2050.

"Segala pendapat dan aspirasi yang dikongsikan melalui dialog ini akan dikumpulkan dan dibukukan untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050," katanya ketika berucap di depan kira-kira 2,800 pelajar pada Dialog TN50 Belia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, dekat sini pada Khamis.

Beliau berkata idea yang dijana dalam kalangan belia khususnya pelajar akan dijadikan sebagai penentu kepada penetapan misi dan visi negara untuk tempoh tiga dekad akan datang.

"Dialog ini merupakan platform penjanaan idea untuk menyelesaikan pelbagai masalah dan yang dihadapi rakyat menjelang 2050," katanya.

Mengulas mengenai siri jelajah dialog itu, Yamani Hafez berkata ia adalah sesi dialog kelima selepas di Sandakan, Kota Belud, Ranau dan Kota Marudu.

"Selepas ini kita akan teruskan lagi siri jelajah dialog TN50  belia di Sipitang," katanya menambah semua idea dan aspirasi belia yang diperolehi melalui program itu akan disampaikan kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. - Bernama


TN50

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain