suria

Guna Tandas Stesen Minyak Pun Kena Bayar

Sebuah stesen minyak di Kuala Terengganu didakwa melaksanakan kaedah pembelian kupon kepada mereka yang ingin menggunakan tandas. - Facebook

PETALING JAYA: Kemudahan tandas di negara ini bukan sesuatu yang asing, namun timbul kisah kurang enak apabila seorang lelaki mendakwa terpaksa membeli kupon ketika ingin menggunakan bilik air di sebuah stesen minyak.

Situasi yang dianggap jarang berlaku itu mengundang pelbagai reaksi netizen di laman sosial Facebook.

Penjawat awam yang hanya ingin dikenali sebagai Aziz berkata, dia terkejut apabila mengetahui tentang caj yang dianggap umpama 'paksa rela' itu ketika singgah di sebuah stesen minyak di Kuala Terengganu pada tengah hari Jumaat.

"Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa ketika memuat naik mengena perkara tersebut.

"Cuma saya terkejut apabila orang awam yang ingin menggunakan tandas di situ perlu membayar kupon dan mengambil kunci di kaunter," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Bapa kepada tiga anak yang dalam perjalanan pulang ke kampung dari Johor memberitahu, dia dan isterinya singgah di stesen minyak tersebut untuk membersihkan bayi mereka yang baru berusia dua bulan.

Katanya, dia tidak jadi menggunakan tandas tersebut kerana beranggapan pihak stesen minyak tidak wajar mengenakan caj terhadap kemudahan asas seperti yang diamalkan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Antara komen netizen yang ditinggalkan di 'posting' tersebut.

Sementara itu, terdapat segelintir netizen tidak berpuas hati dengan situasi tersebut dan mempersoalkan tindakan stesen minyak terbabit mengenakan bayaran kepada orang awam.

"Kenapa perlu bayar? Itu kan servis mereka? Saya rasa stesen tersebut sahaja yang mengenakan bayaran... boleh buat laporan," komen Zwan Abdullah.

Bagaimanapun, kebanyakan netizen bersetuju dengan kaedah yang digunakan oleh stesen minyak tersebut kerana menyediakan tandas yang bersih dan lebih selamat untuk pengguna wanita.

"Pengalaman saya sendiri yang menggunakan tandas itu memang berbaloi walaupun kena bayar 50 sen dengan tahap kebersihan dan kemudahan yang disediakan seperti tisu dan sabun.

"Ada penjaga di kaunter depan tandas itu, jadi boleh mengelakkan orang lain menceroboh dan sebagainya," tulis Mohd Fazlie.

Caj tersebut dipercayai hanyalah strategi pemasaran yang digunakan oleh pemilik stesen minyak tersebut untuk menggalakkan orang awam berbelanja di kedai stesen itu.

Bayaran kupon tersebut akan dikembalikan sekiranya pengguna membeli barangan di kedai stesen berkenaan.

kupon tandas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain