suria

Maut Selepas Sertai Perarakan Maulidur Rasul

Allahyarham Dr Wan Aminuddin (dua, kiri) sempat bergambar bersama rakan-rakan dari kontinjen PPKM sebelum beliau meninggal dunia.

SHAH ALAM: Seorang peserta perarakan Maulidur Rasul 1439H/2017 anjuran kerajaan Selangor yang berlangsung di Stadium Melawati pada Jumaat pagi meninggal dunia sebaik selesai perarakan sejauh 1.8 kilometer (km).

Allahyarham Dr Wan Aminuddin Wan Ab Hamid, 63, yang merupakan bekas pensyarah sebuah IPTA mewakili kontinjen Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) dalam perarakan yang bermula jam 8.30 pagi.

Menurut Ketua Kontinjen PPKM, Mohd Yunos Abd Rahman, arwah yang memegang jawatan sebagai Setiausaha PPKM dilihat dalam keadaan lemah sebaik duduk di kerusi bersebelahannya.

"Melihat mukanya yang semakin pucat dan tidak bergerak, saya dan rakan lain cuba mendapatkan bantuan untuknya.

"Dia dikejarkan ke Hospital Shah Alam bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi oleh pegawai perubatan yang bertugas di hospital itu," katanya kepada Media ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Shah Alam, Jumaat.

Sementara itu, isteri arwah, Zuraida Abd Rahman, 63, berkata, kali terakhir dia bertemu suaminya sekitar jam 4.30 pagi ini ketika dia mahu keluar untuk menyertai perarakan.

"Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan yang pelik, cuma sebelum ini dia pernah memaklumkan yang dia ada darah tinggi.

"Saya dan anak-anak masih terkejut namun kami redha arwah dijemput Illahi di hari Jumaat yang mulia kebetulan jatuh pada Hari Maulidur Rasul," katanya.

Timbalan pengerusi Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kassim mengucapkan takziah kepada keluarga arwah.

"Allah lebih menyayanginya apabila dia meninggal dunia ketika hari sambutan kecintaan Rasulullah hari ini.

"Arwah dan rakan seangkatan dari PPKM dilihat sangat komited dan sentiasa bersemangat dalam perarakan Maulidur Rasul setiap tahun, namun Allah lebih menyayanginya," katanya.

Arwah yang meninggalkan seorang isteri dan dua anak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah, Ulu Klang dijangka selepas Asar hari ini. Al- Fatihah. - Sinar Harian

Maulidur Rasul, PPKM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain