suria

Maut Di Tangan Anak Durjana

ALOR SETAR: Seorang bapa yang cedera parah akibat dipukul  anaknya menggunakan alat penimbang air di Kampung Baru Sri Muda, Sungai Korok, Jitra, semalam disahkan meninggal dunia awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Mohd Ismail Ibrahim berkata mangsa, Mohd Tarmizi Abdul Hamid, 67, meninggal dunia kira-kira 1 pagi tadi ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,  di sini.

“Berikutan itu,  kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 326 kerana mendatangkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi Khamis.

Ketika ini,  proses bedah siasat sedang dilakukan di Jabatan Perubatan dan Forensik HSB sebelum dituntut anggota keluarga untuk dikebumikan.

Dalam kejadian 11 pagi semalam, Mohd Tarmizi dan isterinya, Tom Wahid, 64, dicederakan anak lelaki mereka yang disyaki penagih dadah berusia 28 tahun di rumah mereka di Kampung Baru Sri Muda, Sungai Korok.

Kejadian berlaku ketika Tom sedang memasak di dapur sebelum suspek mengamuk dengan menetak ibunya menggunakan gergaji dan kemudian memukul bapanya menggunakan penimbang air.

Akibat kejadian itu,  ibu suspek cedera di bahagian pipi kanan disyaki terkena senjata tajam, luka di bahu serta lebam-lebam di seluruh badan akibat dipukul serta ibu jari tangan kanan dan sendi jari, patah.

Bapa suspek pula parah apabila urat perutnya pecah dan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Kejadian dipercayai berlaku kerana suspek berang dengan tindakan ibu bapanya yang melaporkan kegiatan suspek kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati suspek positif dadah jenis ganja,  heroin dan syabu.  -- Bernama 


Sungai Korok

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain