suria

Singapura Beri Amaran Dua Produk Malaysia

SINGAPURA: Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran kepada orang awam supaya elakkan membeli atau menggunakan dua produk kesihatan dari Malaysia yang telah menyebabkan dua warga emas mengalami kesan buruk.

Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Khamis, HSA berkata, dua produk iaitu Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill dan Chong Cao Dan sudah diuji dan mengandungi bahan ubatan barat yang tidak diisytiharkan.

Kedua-dua produk itu dipromosikan sebagai ubatan Cina yang mendakwa mengandungi bahan-bahan herba untuk membantu rasa sakit, kebas badan dan peredaran darah.

Bagaimanapun, ujian yang dijalankan oleh HSA menemukan kedua-dua produk tersebut mengandung dexamethasone dan steroid.

Sementara itu, Chong Cao Dan juga mengandungi frusemide (sejenis diuretik yang membantu menghilangkan cecair yang berlebihan daripada badan) dan klorpheniramine (ubat anti-alergi).

Seorang wanita berusia 70-an yang telah mengambil Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill setiap hari selama empat hingga lima tahun untuk melegakan sakit sendi telah dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi kerana mengalami masalah pernafasan yang teruk.

Dia mengalami kekurangan adrenal, satu keadaan yang serius di mana badan tidak menghasilkan sejumlah hormon steroid yang mencukupi.

Ini mengakibatkan kelemahan pada badan sakit otot dan sendi, tekanan darah rendah atau kejutan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain