suria

Bersalin Selepas Majlis Konvokesyen

Dr Saritha bergambar bersama skrol dan anak perempuannya di kediaman mereka di Nilai.

NILAI: Kisah Dr Saritha Sivarajan mungkin tidak sepopular siri televisyen Stan Lee's Superhumans tetapi pencapaian doktor gigi berusia 35 tahun ini mampu menjadi inspirasi kepada orang ramai.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu kini layak digelar 'Superwoman' selepas melahirkan anak ketiganya kurang empat jam selepas majlis konvokesyennya di Universiti Malaya, Ahad lalu.

Dr Saritha sudah mengalami sakit hendak bersalin di rumah pada awal pagi sebelum majlis konvokesyennya tetapi tetap berhasrat untuk menghadiri majlis tersebut.

Malah, beliau kembali ke universiti tersebut untuk mengambil sijilnya untuk menerima anugerah Prestasi Terbaik Keseluruhan dan Lulus Dengan Cemerlang.

"Lima tahun lalu amat sukar dan saya hampir berputus-asa. Namun saya bersyukur kepada Tuhan kerana menguatkan semangat saya dan kelahiran anak saya pada hari sama dengan majlis konvokesyen saya merupakan detik paling menggembirakan," katanya.

Dr Saritha yang berkahwin dengan jurutera pesawat, G.Kandasamy, 35, berkata beliau sepatutnya bersalin pada Selasa tetapi tidak menjangka anak perempuannya akan dilahirkan lebih awal.

Malah beliau turut melahirkan anak keduanya, K.Puvilissha pada 2013 ketika tahun pertamanya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Ortodontik.

"Saya menyambung pengajian itu sepenuh masa dan perlu keluar rumah pada pukul 6 pagi untuk mengelak kesesakan di Kuala Lumpur.

"Dan saya akan keluar segera selepas 5 petang untuk mengambil anak-anak saya dari rumah pengasuh. Kemudian saya menyiapkan makan malam untuk keluarga dan mengemas rumah," katanya.

Sejurus selepas menerima skrol beliau dari Pro-Canselor Toh Puan Dr Aishah Ong di Dewan Tunku Canselor kira-kira pukul 4.50 petang, sakit hendak bersalin semakin kerap.

"Saya menghubungi suami saya di luar dewan dan kami bergegas ke Seremban dengan segera," katanya yang melahirkan anak perempuannya kira-kira pukul 8.18 malam.

Selepas selamat melahirkan anaknya, Dr Saritha menerima khidmat pesanan mesej daripada salah seorang profesornya bertanya jika beliau boleh hadir majlis penyampaian anugerah di Fakulti Pergigian UM petang keesokan harinya.

"Saya masih lagi sakit dan tidak selesa tetapi memutuskan untuk hadir sebagai tanda berterima kasih kepada profesor saya," katanya.

Dr Saritha Sivarajan

Artikel Sebelum

Tutup Gerai Kerana 'Cik Siti'

Artikel Berikut

Dua Maut Terbabas

Artikel Lain