Gadai Nyawa Setiap Hari - Semasa | mStar

Gadai Nyawa Setiap Hari

Zulpuri bersama penduduk menunjukkan laluan jambatan kereta api yang digunakan untuk ke tempat kerja setiap hari. foto Sinar Online

MENTAKAB: Penduduk Seberang Jambatan Keretapi di sini bergadai nyawa setiap hari menggunakan jambatan kereta api sebagai laluan mereka ke tempat kerja berikutan ketiadaan jambatan untuk kegunaan penduduk.

Perkara itu bukan tidak pernah mendapat perhatian kerajaan sebaliknya apa yang berlaku disebabkan kediaman di kawasan kampung yang dihuni 10 keluarga itu dibina di atas tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Difahamkan akibat ketiadaan status tanah di kawasan itu maka pembangunan jambatan yang diluluskan kerajaan tidak dapat dibina.

Sinar Harian sendiri pernah mengutarakan isu berkenaan apabila membuat liputan aduan penduduk pada 2012 lalu.

Terbaru, Adun Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang hadir ke kampung itu sekali lagi menggesa kerajaan mencari penyelesaian jangka panjang dengan membina jambatan gantung baharu di lokasi yang bersesuaian supaya masalah dialami penduduk dapat diselesaikan.

Menurutnya, apa yang berlaku bukan baharu sebaliknya sudah berlarutan sejak lebih separuh abad.

“Saya merayu kepada kerajaan supaya dapat bina satu jambatan gantung bagi memudahkan penduduk menunggang motosikal ke tempat kerja. Laluan haram ini bukanlah untuk kegunaan mereka,” katanya kepada pemberita ketika pertemuan beberapa penduduk di situ yang mengadu masalah dihadapi mereka.

Zulpuri berkata, laluan atas jambatan kereta api itu sangat berbahaya terutama sekali apabila mereka berselisih dengan kereta api yang melaluinya.

Beliau berkata, penduduk tiada pilihan lain kerana jambatan kereta api itu adalah laluan paling singkat untuk ke bandar Mentakab.

“Bukan saja mereka yang menghuni di sini mahukan jambatan gantung sebaliknya pekebun-pekebun yang mempunyai ladang berhampiran juga menggunakan laluan yang sama.

“Jika kita lihat, papan lantai di atas jambatan kereta api itu sudah banyak yang rosak tetapi masih digunakan penduduk di sini,” katanya.

Zulpuri berkata, disebabkan tiada jambatan, ada juga keluarga yang terpaksa meninggalkan kereta mereka di seberang sungai dan sudah tentu mengundang risiko jenayah lain.

Sehubungan itu, Zulpuri merayu supaya kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian untuk membantu penduduk di kawasan itu. - Sinar Online

KTMB , Seberang Jambatan Keretapi

Artikel Sebelum

Shafie Dalam Senarai SPRM

Artikel Berikut

Tangki Peluwap Di Kertih Terbakar

Artikel Lain