suria

Pantang Ponteng Kerja!

Tan Sri Yahaya Ibrahim atau mesra dengan panggilan Cikgu Yahya menunjukkan bukunya 'Yahya Ibrahim; Ikon Pendidikan Negara' yang dilancarkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan sultan Idris (UPSI), Selasa.

TANJONG MALIM: Hanya 11 hari cuti sakit sepanjang 33 tahun berkhidmat sebagai guru. Sukar dibayangkan, namun itulah realiti pengorbanan sebenar Tan Sri Yahaya Ibrahim demi anak didiknya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Yahaya dalam kalangan pendidik, berkata sikap malas termasuk ponteng kerja bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama malah mampu memberi kesan kepada  pelajar.

"Kita jangan seronok boleh ponteng kerja. Kita perlu ikut ajaran agama (Islam), malah apabila bulan puasa, agama tak suruh kita berhenti kerja dan perlu bekerja macam biasa.

"Orang sekarang ini apabila hari Isnin atau Jumaat, ambil MC (cuti sakit) ... apa akan jadi pada negara dan anak cucu pada masa akan datang (jika bersikap sedemikian), ketika itu kita tidak mampu melindungi dan menjaga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku 'Yahya Ibrahim; Ikon Pendidikan Negara' yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini Selasa.

Berkongsi rahsia kesihatannya, ikon pendidikan negara yang berumur 88 tahun itu berkata beliau mengamalkan cara hidup sihat dengan berjalan secara perlahan selama 25 minit dan melakukan senaman fizikal selama 15 minit setiap pagi.

Selain itu, Yahaya juga menitikberatkan soal keagamaan dan sentiasa menghargai kurniaan Allah serta berikhtiar membaiki segala kelemahan diri.

Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 18 Februari 1929, Yahaya yang merupakan lepasan Kirkby College memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan pada 1954 dan terus aktif sehingga hari ini dengan melibatkan diri dalam dunia pendidikan swasta serta pendidikan tinggi.-- Bernama 

Cikgu Yahaya, UPSI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

MH370: Pegawai DCA Ke Madagascar

Artikel Lain