suria

Ulat Tiket Ditahan

GEORGE TOWN: Seorang lelaki dipercayai ulat tiket ditahan kerana menghalang anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjalankan operasi di Terminal Bas Sungai Nibong pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam, sepasukan penguat kuasa SPAD yang menjalankan Operasi Parasit di terminal berkenaan dihalang lelaki berusia 25 tahun itu.

"SPAD menjalankan operasi membanteras geng ulat tiket di terminal itu dan tiba-tiba lelaki berkenaan yang dipercayai ulat tiket di situ, bertindak menghalang mereka," katanya, Sabtu.

Katanya lelaki itu dikatakan bertindak sedemikian selepas berang kerana penguat kuasa SPAD cuba menahan beberapa ulat tiket yang beroperasi di situ.

Beliau berkata suspek itu turut membuat laporan polis mendakwa dipukul penguat kuasa SPAD bagaimanapun berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian tersebut tidak berlaku.

Anuar berkata lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Insiden itu turut menyebabkan berlaku kekecohan di Terminal Bas Sungai Nibong sehingga memaksa polis membuat pemantauan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menahan dua lelaki berusia 30 dan 57 tahun kerana terlibat dalam aktiviti mencuri motosikal di sekitar daerah berkenaan dalam serbuan berasingan semalam dan Khamis.

Katanya susulan penahanan mereka, polis merampas beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan, rangka kenderaan itu serta dua motosikal yang dilaporkan dicuri sebelum ini.

"Modus operandi mereka ialah mencuri motosikal yang diletakkan di tempat parkir pasar  raya sebelum meleraikan komponennya dan menjual dengan harga murah," katanya.-Bernama

SPAD, ulat Tiket

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain