suria

Lelaki Pandu Kereta Lawan Arus, Rempuh Lima Kereta

KEPALA BATAS: Beberapa pemandu kenderaan mengalami kecederaan selepas lima buah kereta bertembung dengan sebuah kereta dipandu secara melawan arus di Kilometer 116 dan 123.4 menghala utara di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di Bertam di sini awal Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, pemandu kereta jenis Volkswagen yang melawan arus turut mengalami kecederaan patah tangan kanan manakala pemandu yang lain cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB).

Bagaimanapun, seorang penunggang motosikal Naim Halidan, 30, yang berada di laluan bertentangan maut selepas dia terjatuh ke dalam longkang di tengah pembahagi jalan ketika cuba menyeberangi lebuh raya itu bagi memberi bantuan kepada mangsa kemalangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner (ACP) Azmi Adam berkata kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta Volkswagen berkenaan yang sedang memandu dari arah Butterworth ke Sungai Petani, Kedah secara tiba-tiba membuat pusingan U di laluan yang sama di Kilometer 116 lebuh raya tersebut.

Beliau berkata tindakan lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai peniaga itu telah mengundang padah apabila kenderaannya bertembung dengan tiga kereta lain di lokasi berkenaan.

"Lelaki itu tidak berhenti di situ malah terus memandu sebelum keretanya sekali lagi melanggar dua buah kereta lain di Kilometer 124.3," katanya ketika dihubungi Bernama.

Azmi berkata semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu mengalami kerosakan teruk dan dipercayai suspek memandu laju semasa kejadian itu.

Katanya mayat lelaki yang terjatuh ke dalam longkang turut dibawa ke HKB untuk bedah siasat.

"Polis akan menjalankan ujian dadah dan alkohol ke atas pemandu kereta Volkswagen itu bagi siasatan lanjut serta kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan merbahaya," jelasnya.

Kemalangan itu merupakan kejadian kedua melibatkan kenderaan yang dipandu secara melawan arus di Pulau Pinang.Dalam kejadian pertama pada 14 Mac lepas, seorang juruteknik kilang terbunuh selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandunya bertembung dengan Proton Gen 2 dipandu seorang wanita secara melawan arus dari Sungai Dua menghala Butterworth, di Permatang Pauh.-Bernama

Kereta lawan arah

Artikel Sebelum

Artikel Lain