suria

KWSP Beri Amaran Guna Dokumen Palsu

KUCHING: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mengesan sekiranya ada pencarum dana itu cuba membuat pengeluaran menggunakan dokumen palsu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata ada pencarum dihampiri sindiket dan dijanjikan bahawa ada cara untuk mengeluarkan duit daripada KWSP dengan menggunakan dokumen palsu contohnya untuk pengeluaran perumahan.

"Sindiket akan menggunakan dokumen jual beli atau sewa beli palsu antara pencarum dengan pemaju yang tidak wujud, jadi kita boleh kesan sebab kita akan buat semakan dengan pemaju, bank dan peguam untuk menentukan sama ada dokumen itu sah atau tidak.

"Menerusi sistem KWSP kita telah mengesan beberapa kes, kita telah pun menasihatkan pencarum jangan diperdaya dan juga telah ambil tindakan dengan membuat laporan polis serta tindakan kepada pencarum kerana pengeluaran palsu dan menggunakan dokumen palsu adalah satu kesalahan di bawah undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian  dalam sidang media selepas majlis pelancaran program Bicara Persaraan Bersama  KWSP oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsmen) Datuk Talib Zulpilip di sebuah pusat membeli-belah pada Sabtu.

Program selama dua hari mulai hari ini merupakan sebahagian kempen celik kewangan KWSP dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mempromosikan program celik kewangan.

Mengulas lanjut, Shahril Ridza turut menasihatkan pencarum supaya berhati-hati kerana terdapat sindiket akan akan terus cuba memperdaya mereka.

Beliau berkata ada pencarum dijanjikan skim pelaburan dengan pulangan yang lumayan yang tidak munasabah dan akan cuba membantu untuk mengeluarkan duit daripada akaun KWSP.

"Sindiket akan mengenakan bayaran sama ada pendahuluan atau mengambil 30 hingga 40 peratus daripada pengeluaran yang akan dibuat. KWSP telah banyak membuat pendekatan menerusi media supaya memberi peringatan kepada pencarum supaya tidak tertipu dengan penipuan  ini," katanya.

Terdahulu dalam ucapan, Shahril Ridza berkata program dua hari itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan mengetengahkan kepentingan celik kewangan dalam merangka pelan persaraan pencarum.

Beliau berkata program itu juga menjadi platform kepada anggota untuk menyemak penyata KWSP menerusi pasukan bergerak KWSP dan memperoleh nasihat secara percuma mengenai persaraan daripada pegawai khidmat persaraan.-Bernama

KWSP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain