suria

FIC: Lagi Akan Ditahan - SPRM

CYBERJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa lebih ramai akan ditahan berhubung pembelian sebuah hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, penahanan tersebut akan dibuat tidak lama lagi susulan maklumat terbaharu yang diperoleh pasukan penyiasatan suruhanjaya itu.

"Beberapa penahanan akan dibuat tidak lama lagi berdasarkan maklumat yang diterima.

"Kita akan membuat penahanan, dan jika ada keperluan untuk melakukan tindakan lanjut, kita akan buat," katanya selepas menghadiri pelancaran siri televisyen terbaharu 'Banteras'.

Setakat ini, seramai empat pegawai FIC dipanggil untuk disoal siasat, susulan serbuan di pejabat FIC di Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

SPRM mendapat maklumat yang mendedahkan bahawa hotel di Kengsington, London mungkin dibeli pada harga yang tinggi, mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

FIC dikatakan membeli hotel berkenaan berjumlah £60 juta (RM330 juta) antara 2013 dan 2015, menjadikan ia sebagai pelaburan ke-12 dalam portfolio hospitaliti kumpulan Felda. 


SPRM, FIC

Artikel Sebelum

Artikel Lain