suria

'Buat Duit' Dengan Duit Raya

PETALING JAYA: Menjelang Aidilfitri, apa saja sanggup dilakukan asalkan hasil usaha itu boleh jadi duit!

Begitu juga dengan Azwan Azrin Alias, 26, yang mencari duit raya untuk dirinya sendiri atas duit raya orang lain.

Berbekalkan sebuah motosikal, beliau membuka perkhidmatan bagi membantu orang ramai menukar wang kertas baharu untuk diberikan sebagai duit raya sempena Aidilfitri.

Kata Azwan, beliau tidak menyangka perkhidmatan yang diiklankan di Facebook ini mendapat sambutan hangat daripada warga kota.

"Saya tahu setiap tahun bila nak dekat raya warga kota memang 'bermasalah' bila bab nak tukar duit raya di bank, banyak perlu difikirkan seperti parkir dan masa sebab kena beratur panjang.

"Bila saya tukar duit raya untuk diri sendiri baru-baru ni, saya terfikir kenapa saya tak bantu mereka dengan sedikit caj," katanya kepada mStar Online.

Menurut Azwan, waktu kerja yang fleksibel dan tempat kerjanya di ibu kota yang kebetulan dekat dengan beberapa bank memberi peluang untuk dirinya menawarkan servis ini.

Setakat ini, beliau telah beberapa kali membuat penghantaran duit raya kepada pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang dan dijangka membuat penghantaran terakhir pada Isnin ini.

"Saya sendiri akan pergi hantar ke tangan mereka. Sebelum hantar saya akan buat susunan masa dan lokasi, ikut persetujuan kedua-dua pihak," katanya.

Azwan berkata, caj penghantaran ditetapkan mengikut jarak, bermula serendah RM10 dan setakat ini upah paling tinggi diterimanya adalah RM45, iaitu untuk pelanggan di Kajang.

"Kalau datang ambil dengan saya pun saya caj RM10...upah saya pergi bank, beratur dan uruskan penghantaran. Lagi pun apa yang saya buat ni pun berisiko, siapa tahu saya kena rompak atau diragut ketika urusan penghantaran," katanya.

Azwan yang bekerja sebagai penyelia keselamatan tapak binaan berkata, beliau akan mendahulukan wangnya untuk membuat pertukaran di bank, berbeza dengan perkhidmatan yang ditawarkan individu lain.

"Servis macam ni sebenarnya dah banyak, cuma bezanya 'pelanggan' perlu 'bank in' duit dulu kepada penghantar. Saya lain sikit sebab pelanggan hanya buat bayaran apabila wang baharu sampai ke tangan mereka. Jadi tak timbul isu saya tipu atau sebagainya.

"Tapi saya pernah tolak permintaan seorang individu yang mahu tukar wang berjumlah RM100,000 sebab saya tak ada wang sebanyak itu," katanya.

Azwan berkata, setakat ini beliau telah menukar duit raya berjumlah kira-kira RM10,000.

Katanya, berdasarkan sambutan yang diterima, besar kemungkinan beliau akan meneruskan perkhidmatan ini pada menjelang Aidilfitri akan datang.

Mohd Nasir

Sementara itu, perkhidmatan yang ditawarkan oleh penghantar sepenuh masa, Mohd Nasir Aripin, 26, sedikit berbeza dengan apa yang ditawarkan Azwan.

Selain pelanggan perlu memasukkan wang ke akaunnya terlebih dahulu, beliau juga meletakkan kadar tetap untuk servis ini.

"Saya letak caj upah dan penghantaran sebanyak RM40, tapi jika lokasinya jauh, saya caj lebih sikit.

"Soal lokasi saya tak kisah sangat sebab saya memang kerja 'runner' sepenuh masa, dekat atau jauh saya pergi asalkan dapat wang," katanya sambil menambah beliau dapat mengumpul hampir RM500 melalui servis ini, tahun lepas.

Katanya, bagi meyakinkan pelanggan, beliau akan memastikan sentiasa membuat kemas kini di Facebook.

Tahun ini adalah tahun kedua beliau yang bekerja sebagai penghantar sepenuh masa ini menawarkan servis seperti ini.

duit raya, tukar duit, duit baharu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain