suria

Kes Nhaveen: Keterangan Doktor Dirakam

GEORGE TOWN: Timbalan pendakwa raya telah menyerahkan semula kertas siasatan berhubung kes buli mendiang T. Nhaveen kepada polis bagi melengkapkan beberapa maklumat berhubung siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, timbalan pendakwa raya mahu polis mendapatkan beberapa keterangan daripada doktor yang merawat remaja lelaki berusia 18 tahun itu.

"Polis telah serahkan kertas siasatan itu semalam bagaimanapun timbalan pendakwa raya memulangkan semula (semalam). Kami akan merekodkan keterangan doktor itu hari ini atau esok dan lengkapkan semula kertas siasatan sebelum menyerahkan kepada timbalan pendakwa raya pada Isnin," katanya kepada Bernama, di sini, Sabtu.

Beliau berkata lima remaja lelaki yang sebelum ini ditahan disyaki terlibat dalam kes itu dijangka didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh Nhaveen pada Isnin atau Selasa depan.

Anuar berkata mereka yang berusia 16 hingga 18 tahun termasuk dua pelajar tingkatan empat dan lima itu masih direman untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian 2.10 pagi Sabtu lepas, lima remaja dilapor memukul Nhaveen dan rakan baiknya T. Previin menggunakan topi keledar.

Previin, 19, yang turut cedera dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagaimanapun dapat melarikan diri ketika mereka dikatakan cuba diheret ke padang berdekatan.

Nhaveen yang mengalami kecederaan parah dilapor turut mengalami kesan koyak pada duburnya akibat ditusuk objek tumpul serta kesan terbakar di bahunya.

Remaja itu yang koma sejak kejadian berkenaan meninggal dunia di HPP petang Khamis dan hasil bedah siasat mendapati Nhaveen yang bercita-cita menjadi ahli muzik itu mati akibat kecederaan di bahagian kepala disebabkan dipukul dengan benda tumpul.

Siasatan polis juga mendapati lima remaja yang disyaki terbabit dalam kejadian itu tinggal di kawasan yang sama dan memang suka membuli serta memeras ugut rakan-rakan mereka.

Mereka juga dilapor terlibat dalam kes membabitkan seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam berusia 19 tahun yang cedera dipukul di Jelutong pada 5 Mei lepas.

Nhaveen, Jelutong

Artikel Sebelum

Guru Serang Guru Besar

Artikel Berikut

Artikel Lain