suria

PTPTN Perkenal Bayaran Balik Secara Debit Terus

KUALA LUMPUR: Bagi memudahkan peminjam membuat bayaran balik secara konsisten, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan sistem pembayaran ''direct debit'' atau debit terus secara dalam talian bermula Selasa.

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, menerusi kaedah itu, peminjam tidak perlu lagi ke kaunter PTPTN untuk membuat bayaran debit terus, sebaliknya hanya perlu membuat pendaftaran melalui portal rasmi PTPTN, www.ptptn.gov.my.

"Sebenarnya debit terus secara manual telah diperkenalkan pada November tahun lepas, tetapi kaedah ini agak rumit kerana berlaku beberapa kesilapan kecil semasa pengisian borang seperti perbezaan tandatangan yang akan menyebabkan permohonan ditolak.

"Menerusi debit terus secara dalam talian ini, kelulusan permohonan juga dapat dilaksanakan dengan lebih cepat iaitu dalam tempoh tiga hari bekerja dan peminjam boleh memilih untuk membuat bayaran menggunakan bank pilihan mereka kerana terdapat 17 bank yang menyediakan kemudahan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pengumuman perkhidmatan baharu itu di sini Selasa.

Jelas Shamsul Anuar, selain peminjam, kaedah tersebut juga dapat dinikmati oleh pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

"Kita yakin melalui kaedah ini, jumlah skim simpanan akan meningkat dan sasaran RM4 bilion bayaran balik bagi tahun ini dapat dicapai yang mana sehingga April lepas sebanyak RM1.39 bilion berjaya dikutip.

"Peminjam yang membuat bayaran balik secara konsisten sehingga 31 Disember tahun ini menerusi kaedah debit terus secara dalam talian juga dapat menikmati diskaun 10 peratus mengikut bayaran balik yang telah ditetapkan," katanya.

Bagaimanapun, Shamsul Anuar berkata bagi memudahkan urusan bayaran balik dan simpanan, pihaknya menggalakkan peminjam dan pendeposit SSPN-i membuat rundingan dan menghubungi talian Careline PTPTN untuk membuat rundingan. - Bernama

PTPTN

Artikel Berikut

Mufti Terima Kejutan

Artikel Lain