suria

Segera Daftar E-Kad, Amaran KP Imigresen

KUALA LUMPUR: Majikan perlu segera mendaftarkan pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk mendapatkan kad sementara ''Enforcement Card'' atau E-Kad atau berdepan tindakan tegas pasukan penguatkuasaan.

Itu amaran Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali kepada majikan yang masih gagal mendaftarkan pekerja asing mereka memandangkan tempoh untuk berbuat demikian akan tamat 30 Jun ini.

Menurutnya, hanya 97,468 E-Kad telah dikeluarkan dalam tempoh 15 Februari hingga 31 Mei lalu dengan hanya 17,182 majikan yang tampil membuat permohonan dengan jabatan itu.

"Ini jauh daripada sasaran. Kami dimaklumkan ada 400,000 hingga 500,000 pekerja (Pati) belum ada dokumen lengkap atau telah tinggal lebih masa, langgar syarat bekerja dan lain-lain. Mereka ini perlu datang ke pejabat Imigresen.

"Saya memberi amaran kerana majikan telah beri masa secukupnya dan tempoh permohonan tidak akan dipanjangkan," katanya kepada Bernama mengenai pengeluaran E-Kad bagi membolehkan majikan membuat permohonan penggajian semula Pati secara sah.

Mustafar berkata bermula 1 Julai ini, pihaknya akan menggempur Pati yang tidak mempunyai E-Kad serta mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal mendaftarkan mereka.

Menurutnya, satu pasukan penguatkuasaan telah diwujudkan jabatan itu bagi melaksanakan penguatkuasaan dan tindakan terhadap majikan.

"Mana-mana syarikat yang gajikan pekerja asing kita buat semakan dan siasatan. Trend sekarang majikan suka gajikan Pati kerana mereka dapat bayar gaji lebih murah berbanding orang tempatan," katanya.

Program E-Kad bertujuan memenuhi permintaan majikan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang dibenarkan dan kad berkenaan hanya sah sehingga 15 Februari 2018.

Program yang diperkenalkan pada 15 Februari lalu itu dilaksana di Semenanjung.

Dalam pada itu, Mustafar berkata 24,068 Pati telah diusir dalam operasi yang dijalankan sejak awal tahun ini hingga 1 Jun lepas.

Katanya, 566 majikan dan 19,968 Pati telah ditahan dalam 6,478 operasi yang dijalankan di seluruh negara dalam tempoh sama.  -- Bernama


E-Kad, Imigresen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain