suria

'Makcik Viral' Terus Jadi Misteri

PETALING JAYA: Identiti seorang wanita warga tua yang didakwa sering menipu orang ramai di tempat awam seperti KL Sentral dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) masih jadi teka-teki.

Dipanggil 'makcik viral' dalam kalangan netizen, kegiatannya didedahkan pihak yang mendakwa pernah menjadi mangsa penipuannya sejak 2016 dan terkini wanita berkenaan dikatakan berada di Pasir Gudang, Johor.

Pengguna Facebook, Nadiah Nordin dalam satu postingnya, pagi Ahad mendakwa telah didatangi wanita berkenaan di hospital swasta tempat beliau bekerja.

Katanya, wanita yang memakai jubah itu mahu berjumpa doktor dan minta dimasukkan ke hospital.

Nadiah kemudiannya melaksanakan tugasnya mendaftar pesakit seperti biasa, tetapi terkejut apabila wanita itu mendakwa tidak mempunyai kad pengenalan kerana telah 'diragut' di Larkin.

"Lepas tu aku minta dia tulis IC, nama dan alamat. Aku pun cuba daftar, sekali aku cuba cari nama dalam sistem, nama orang lain yang keluar pakai IC (nombor) yang dia bagi.

"Dari situ aku syak dah lain macam je makcik ni. Aku tanya dia, makcik, IC makcik bagi salah, dia cakap dia lupa nombor IC, so dia pun cuba lagi," tulis Nadiah di Facebook.

Selepas tiga kali gagal didaftarkan, wanita tersebut yang digambarkan dalam keadaan lemah itu, tetap dibawa berjumpa doktor sebelum dia minta dimasukkan ke wad.

"Lepas tu dia bagitau 'nanti pakcik (suami) datang bawa deposit yea. Pakcik dalam perjalanan dah dari Muar'," tulisnya.

Sementara menunggu kedatangan suaminya, wanita berkenaan telah diminta untuk menunggu di ruang kecemasan.

Ketika itulah kisah tentang 'makcik viral' ini terbongkar apabila Nadiah dan rakan-rakan melakukan carian di Google.

"Lama tu aku baru teringat muka makcik ni sebab aku pernah baca cerita makcik ni diviralkan di FB.

"Aku ngan kawan-kawan search Google, yea memang sah dialah orangnya. Ya Allah masa tu seram takut, debar jantung nak cabut semua ada," tulisnya lagi.

Selepas pemeriksaan mendapati alamat yang diberikannya tidak wujud, satu surat telah dikeluarkan meminta wanita berkenaan merujuk hospital kerajaan.

Dan, difahamkan, ini bukan pertama kali wanita ini membuat 'lawatan' ke hospital.

Dia sebelum ini dikatakan pernah pergi ke hospital KPJ Klang, KPJ Johor dan beberapa hospital lain untuk meminta 'pethidine' (sejenis ubat penahan sakit).

Berdasarkan laporan, wanita ini juga pernah dikaitkan dengan aktiviti pukau, pernah ditahan polis kerana cuba menipu duit pelajar sebanyak RM50 tetapi dilepaskan setelah mengaku bersalah dan memulangkan semula wang berkenaan.

Kata Nadiah, posting tersebut terpaksa dibuat dan disebarkan untuk keselamatan orang lain.

kes tipu, makcik viral, Johor

Artikel Berikut

Artikel Lain