suria

Tujuh Tahfiz Syahid Kecil - Mufti

Datuk Mohamad Shukri Mohamad

KOTA BHARU: Tujuh pelajar tahfiz yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kuala Krai, pada Jumaat, boleh dikategorikan syahid kecil.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, selain kecelakaan jalan raya, umat Islam yang maut akibat mati lemas dan wanita meninggal ketika bersalin juga boleh dikategorikan antara syahid akhirat.

“Tetapi bukanlah kategori mati syahid dalam peperangan. Kalau nak kategorikan mati syahid kecil, bolehlah kerana mereka semua terlibat dalam kemalangan.

“Begitu juga mati kebakaran dan mati kerana sakit juga boleh dikategorikan mati syahid kecil,” katanya, Sabtu.

Dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, di Kampung Telekong, pagi kelmarin, tujuh pelajar tahfiz CT-One Islamic Centre meninggal dunia selepas van yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebuah rumah.

Lima maut di tempat kejadian iaitu Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhamad Rahman Rozali, 17; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Sharifuddin Mohamad, 16, dan Nik Ahmad Daniel Nik Ahmad Rithaudeen, 14, sementara dua lagi, Ahmad Farhan Zulkifli, 14, serta Mohd Hakimi Mohd Dahlan, 17 meninggal di Hospital Kuala Krai.

Tujuh lagi mangsa termasuk lima pelajar dan dua guru pengiring turut mengalami kecederaan. Ketika kejadian, semua mangsa difahamkan dalam perjalanan ke program Daurah Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Mohamad Shukri turut menasihatkan umat Islam supaya berlapang dada dan menerima musibah sebagai ketentuan Allah SWT.

“Setiap musibah berlaku, ada ketetapan qada dan qadar. Kalau orang meninggal dunia akibat sakit jantung atau kencing manis pun ada asbab sendiri. Apa yang berlaku ini  adalah suratan takdir dan kita kena terima ketetapan ini,” katanya. -Sinar Harian

Mufti Kelantan, tahfiz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Penangan Jakel

Artikel Lain