suria

JJPTR Pindah Puluhan Juta Ringgit Ke Luar Negara

Polis menyerbu ibu pejabat JJPTR di Jalan Perak, George Town pada Jumaat lalu.

LEDANG: Siasatan terhadap JJ Poor to Rich (JJPTR) mendapati puluhan juta ringgit berkemungkinan besar dipindahkan ke akaun di luar negara.

Tiada kesan yang komputernya digodam seperti didakwa oleh pengasasnya, Johnson Lee.

Sumber polis berkata siasatan tidak menunjukkan syarikat tersebut terlibat dengan perdagangan pertukaran mata wang asing (forex).

Difahamkan sepasukan pegawai dari Bukit Aman dan Bank Negara telah membekukan beberapa akaun bernilai jutaan ringgit.

Namun sebahagian besar wang tersebut telah pun dipindahkan ke luar negara.

Pasukan tersebut turut sedang memastikan fakta jika jumlah kehilangan sebenar adalah RM1.73 bilion atau sama ada terdapat kira-kira puluhan ribu menjadi mangsa di dalam dan luar negara.

"Terdapat juga kemungkinan bahawa Bank Negara akan cuba bekerjasama dengan rakan sejawatan di luar negara untuk menjejaki wang tersebut," kata sumber itu.

Mereka berkata beberapa laporan polis termasuk satu di Ledang, Johor telah dibuat.

JJPTR menjadi tajuk utama di muka depan akhbar utama beberapa minggu lalu apabila syarikat itu mendakwa mengalami kerugian RM1.738 bilion akibat kerja penggodaman.

Kerugian itu menyebabkan pelabur panik apabila faedah bulanan sebanyak 20% yang dijanjikan kepada mereka tidak didepositkan ke dalam akaun pada April.

Di Ledang, seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an membuat laporan polis mendakwa dia tidak mendapat pulangan selepas melabur dalam skim itu pada awal tahun ini.

Sumber berkata, wanita itu mendakwa dia melabur RM4,700 dalam skim itu dan menerima RM840 setiap bulan.

Difahamkan wanita itu berkata dia tidak terlibat dalam pengubahan wang haram tetapi melabur dalam skim tersebut untuk mendapatkan pulangan yang cepat.

Sejak itu polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber berkata polis menjangkakan lebih banyak laporan dibuat di seluruh negara dan luar negara berikutan penahanan tiga pegawai tertinggi syarikat itu.

JJPTR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain