suria

Shahrir Tidak Bertanding PRU14

Shahrir Abdul Samad.

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad sekali lagi menegaskan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas menganggap sudah sampai masa beliau mengundur diri dan memberi peluang kepada para pelapisnya.

"Kita perlu yakin kepada yang lebih muda untuk teruskan perjuangan. Saya sendiri selalu berkongsi dan menerapkan nilai-nilai murni kepada generasi muda kerana saya hanya meneruskan apa yang berlaku sebelum ini.

"Jadi, saya yakin mereka yang mengambil alih Johor Bahru juga akan meneruskan apa yang ada di sini. Saya sendiri sudah melatih satu jawatankuasa yang dianggotai kira-kira 30 orang termasuk Pemuda, Wanita, Puteri dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek kepada Sekolah-sekolah Menengah/Rendah, Sekolah-sekolah Agama, Tadika Kemas, Perpaduan, surau dan masjid dalam parlimen Johor Bahru di Dewan Raya Kampung Dato' Onn Jaafar, di sini, Jumaat.

Pada majlis berkenaan seramai 125 pihak menerima sumbangan membabitkan peruntukan berjumlah RM416,500.Shahrir berkata, beliau turut telah diminta mencadangkan lima nama kepada pucuk pimpinan untuk menggantikan tempatnya.

"Takkan kita mahu beri nasihat kepada pemimpin lain supaya sedar diri. Sama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau penasihat DAP Lim Kit Siang yang tidak habis-habis cakap penggal terakhir.

"Mereka ini seperti tidak yakin dengan generasi muda. Anak sudah ada takkan sampai sudah bercucu baru mahu percaya atau yakin," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun kerusi Dun Stulang kini di bawah DAP, BN tetap terus berusaha agar kawasan kembali kepada mereka pada PRU-14.

"Kita tidak pernah mengetepikan penduduk di Dun Stulang kerana segala janji yang dibuat bukanlah janji kosong atau tidak berasas. Sebaliknya kita mahu menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat," katanya.

Mengenai pengaruh pembangkang di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), beliau yang juga Pengerusi Felda mengakui sejak dahulu apabila semakin hampir pilihan raya pelbagai isu akan timbul termasuk soal pembangkang di Felda.

"Memang ada kumpulan kecil cuba timbulkan pelbagai isu. Contohnya peneroka yang tidak bersama Felda hanya 14 peratus. Yang minta mahu bayaran seminggu sekali juga hanya kumpulan minoriti juga," katanya. - Sinar Harian

Shahrir Abdul Samad, PRU14

Artikel Berikut

Artikel Lain