suria

Fidget Spinner: Kementerian Pendidikan Tunggu Laporan Penuh

KUALA NERANG: Kementerian Pendidikan akan menunggu laporan daripada pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang tindakan berhubung penggunaan gajet 'fidget spinner' yang kini menjadi fenomena dalam kalangan pelajar sekolah.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia kerana gajet itu baru sahaja berada di pasaran dan masih belum diketahui kesan penggunaanya, sama ada boleh mengundang bahaya kepada pengguna atau pun tidak.

"Benda ini masih lagi baru dan ada banyak pendapat mengenai penggunaannya. Kita perlu menunggu laporan dari pihak berkuasa terlebih dahulu, barulah kita bincang dalam jawatankuasa di peringkat kementerian," katanya selepas merasmikan kem Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK) peringkat kebangsaan di sini Jumaat.

Beliau diminta mengulas laporan media mengenai bahaya penggunaan fidget spinner yang berkemungkinan boleh mendatangkan kecederaan dan dieksploitasi menjadi senjata berbahaya, serta saranan kepada kementerian pendidikan agar fenomena itu diawasi supaya tidak menjejaskan sesi pembelajaran.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya mahu jalinan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) diperluaskan ke peringkat daerah dan akar umbi dalam usaha mengurangkan masalah penyalagunaan dadah dalam kalangan pelajar.

Katanya melalui NBOS berkenaan, pelbagai pihak seperti AADK, polis, ketua kampung, imam, ibu bapa serta pengurusan sekolah akan digerakkan bersama bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar yang ketika ini berada pada tahap membimbangkan.

"Sekarang ini di peringkat kebangsaan kita sudah ada NBOS sedemikian sebab itu kita mahu ia diperluaskan ke peringkat akar umbi, misalnya apabila AADK dan polis sudah kenal pasti lokasi panas, kita akan panggil kesemua pihak ini untuk membincangkan apakah langkah yang perlu kita ambil," katanya.

Mengikut rekod, sebanyak 1,017 sekolah menengah yang terletak di 178 kawasan berisiko tinggi terhadap penyalahgunaan dadah sudah dikenal pasti setakat ini.

Sementara itu mengulas mengenai cadangan AADK agar satu sistem persekolahan teratur untuk mereka yang masih menjalani rawatan pemulihan dadah di pusat pemulihan diwujudkan, beliau berkata pihaknya mahu mengkaji terlebih dahulu cadangan bekenaan.

Cadangan itu disuarakan Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohammad Hussin dalam ucapannya, yang berkata sistem itu perlu agar pelajar terlibat dadah mendapat pendidikan khas yang lebih teratur.

"Sekiranya perlu, boleh menggunakan fasiliti sedia ada seperti Institut Latihan Perindustrian yang tidak digunakan untuk dijadikan sebagai sekolah," katanya.

Dalam pada itu Abd Halim berkata jumlah pelajar yang positif dadah meningkat sebanyak 3.8 peratus pada tahun 2016 daripada 3.51 peratus pada 2015.

"Statitstik menunjukkan daripada 49,711 pelajar sekolah menengah yang menjalani ujian air kencing pada 2015, seramai 1,748 didapati positif dadah.

"Manakala pada tahun lalu, sebanyak 35,522 pelajar sekolah menengah telah menjalani ujian urin dan 1,411 daripada mereka didapati positif dadah dan jumlah ini agak membimbangkan kita," katanya.

Program Shields anjuran AADK dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri melibatkan 500 pelajar sekolah menengah dari seluruh negara, yang bertujuan membendung pelajar yang mempunyai masalah dadah daripada terus terlibat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain