suria

PAS-PKR Bercerai Talak Berapa?

KUALA LUMPUR: Pelanggaran syarat tahaluf siyasi antara faktor utama yang dipertimbangkan Majlis Syura Ulama PAS berkaitan hubungan politik parti itu dengan PKR.

Berdasarkan aspek itu juga, mesyuarat Majlis Syura Ulama parti Islam itu pada petang Khamis mengumumkan keputusan untuk menamatkan hubungan dengan PKR berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, hubungan tersebut terbatal kerana terdapat banyak perlanggaran syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

"Antara pelanggaran tersebut adalah tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa PAS seperti Rang Undang-Undang (RUU) 355.

"Selain itu, melanggar adab-adab bekerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS pada Khamis.

Kata beliau, pelanggaran tersebut turut meliputi perbuatan khianat dalam hubungan politik dengan PAS seperti bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kerajaan negeri Kelantan.

Jelasnya, PKR turut menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dengan merujuk maslahah, kepentingan Islam dan rakyat.

"Keputusan ini dimaklumkan kepada PKR melalui media dan PAS bersedia mengadakan pertemuan dengan mereka," ujarnya.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Terdahulu, ketiga-tiga pemimpin politik tersebut tiba di Ibu Pejabat PAS pada pukul 3 petang dan mesyuarat berakhir lebih dua jam kemudian.


Majlis Syura Ulama, PAS, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain