suria

Maybank Dilantik Bank Panel PTPTN

KUALA LUMPUR: Maybank, yang dilantik sebagai bank panel Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasar menyediakan pinjaman kepada kira-kira  60,000 mahasiswa baharu pada 2018.

Di bawah perjanjian ini, Maybank akan dapat menyediakan perkhidmatan pengeluaran pinjaman PTPTN kepada pelajar yang menuntut di universiti awam dan swasta, kata bank itu dalam satu kenyataan, Khamis.

Ketika ini, bank itu telah mendapat lima universiti di bawah pelantikan PTPTN yang mana ia akan menyediakan perkhidmatan pinjaman kepada lebih  6,000 pelajar.

Maybank yakin platform pengeluaran pinjaman PTPTN bank itu akan mendapat tarikan tahun ini memandangkan universiti-universiti semakin menerima perkhidmatan komprehensif  yang ditawarkannya kepada institusi serta pelajar mereka, kata Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia Datuk Hamirullah Boorhan.

Bank itu juga melancarkan lounge kampus ketujuhnya, lounge Maybank@UTP, pusat kewangan interaktif bagi mahasiswa dan komuniti kampus.

Lounge itu, yang direka khusus bagi Gen Z (generasi Z) dan pelajar alaf baharu di kampus universiti, merupakan sebahagian daripada inisiatif Maybank bagi mendedahkan generasi muda kepada kemudahan perbankan yang lancar, menumpukan kepada akses dan  kemudahan bagi memenuhi keperluan kewangan mereka.-Bernama

PTPTN, Maybank

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain