suria

Seorang Maut, Dua Cedera Rempuh Lori

SITIAWAN: Seorang lelaki maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Kampung Batu 14 Lekir, di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata dalam kejadian pukul 4 pagi Khamis, A Vikneshwaran, 26, beralamat di Ladang Huntly, Pantai Remis, yang juga penumpang hadapan kereta Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Mohd Zailan berkata siasatan mendapati Proton Wira yang dinaiki mangsa dan dipandu lelaki berusia 26 tahun serta seorang lagi penumpang lelaki dari arah Teluk Intan itu dalam perjalanan menghala ke Pantai Remis manakala lori tersebut dari arah bertentangan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, dipercayai kereta berkenaan memasuki laluan lori yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun bersama seorang penumpang lelaki dalam perjalanan dari arah Pendang dan menghala ke Teluk Intan.

"Keadaan itu menyebabkan pemandu lori itu tidak dapat mengelak lalu melanggar kereta mangsa dan terbabas ke bahu jalan ke arah Sitiawan," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Mohd Zailan berkata akibat daripada kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berkenaan cedera di kepala dan penumpang belakang berumur 27 tahun patah tangan kanan.

"Pemandu dan penumpang belakang Proton Wira itu dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

"Bagaimanapun, pemandu lori serta pembantunya yang berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - BERNAMA

kemalangan maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain