suria

Pantau Unsur Berkaitan Wanddy

MELAKA: Polis kontinjen negeri Melaka akan terus melakukan pemantauan terhadap semua aktiviti dan perkara-perkara yang disyaki ada kaitan dengan Ketua Militan Daesh Asia Tenggara Muhammad Wanndy Mohamed Jedi atau kumpulan lain.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata sehingga kini, pihak polis mendapati tiada lagi unsur-unsur yang berkaitan dengan Muhammad Wanndy mahupun militan Daesh di negeri ini.

"Kita juga melakukan pemantauan secara berterusan di kampung kelahiran Ketua Militan Daesh Asia Tenggara itu di Masjid Tanah dan mendapati bahawa tiada aktiviti mencurigakan yang mempunyai kaitan dengannya atau kumpulan militan Daesh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Melaka di sini, Khamis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini mengesahkan bahawa Muhammad Wanndy terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lepas.

Abdul Jalil berkata Polis Kontinjen Melaka yakin bahawa sehingga kini Melaka bebas daripada kegiatan militan Daesh.

"Di Melaka, kegiatan yang berkaitan dengan militan Daesh adalah kurang dan boleh dikatakan tiada baik di Masjid Tanah mahupun di daerah-daerah lain kerana pihak polis sentiasa membuat pemantauan ketat berhubung perkara tersebut.

"Pihak polis juga mendapat kerjasama erat daripada masyarakat yang sentiasa menyalurkan maklumat bagi membolehkan polis menyelesaikan perkara tersebut dari peringkat awal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Jalil berkata dalam pelan pembangunan Pulau Besar, kerajaan negeri Melaka akan menyediakan kemudahan sebuah balai polis di pulau tersebut bersama dengan pembinaan masjid.

"Kita akan menempatkan sejumlah pegawai dan anggota polis secara tetap di Pulau Besar dan meminta agar pihak kerajaan negeri turut membina kediaman untuk kemudahan anggota yang bertugas," katanya.

Beliau berkata dengan adanya Balai Polis Pulau Besar nanti, pihak penguat kuasa dapat mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi menyokong usaha kerajaan negeri membawa pembangunan di pulau tersebut.

Bernama sebelum ini melaporkan penduduk dan peniaga di Pulau Besar meminta agar polis menempatkan sekurang-kurangnya pondok polis bagi menjamin keselamatan mereka dan pelancong yang datang ke Pulau Besar.-- Bernama



Wanddy, IS, Melaka

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain