suria

Hanya Boleh Dihantar Ke Turki

PUTRAJAYA: Warga Turki, Turgay Karaman yang ditahan polis tidak boleh dihantar pulang ke negara lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Turgay sebaliknya perlu dihantar pulang ke negara asalnya.

Tegas Ahmad Zahid, keputusan itu berdasarkan undang-undang mengenai pengusiran dan pihak berkuasa Malaysia perlu mematuhinya.

Turgay dan seorang lagi warga Turki, Ihsan Aslan, ditahan pada 2 Mei lalu kerana terlibat dengan aktiviti yang didakwa mengancam keselamatan Malaysia.

Kedua-dua mereka ditahan kerana ada kaitan dengan militan IS.

Polis menahan suspek ketiga, Ismet Ozcelik, dua hari kemudian atas kesalahan yang sama.

"Kita tidak boleh menghantarnya ke negara ketiga. Dia perlu dihantar pulang ke Turki," kata Ahmad Zahid.

Sebelum ini, isteri Turgay, Ayse Gul Karaman merayu kepada pihak berkuasa agar tidak menghantar suaminya pulang ke Turki tetapi ke negara lain.

Ayse secara terbuka mengakui dia dan suaminya adalah orang yang bersimpati dengan ulama Turki dalam buangan, Muhammed Fethullah Gullen yang dianggap dalang kepada cubaan rampasan kuasa di negara itu Julai lalu.

Ahmad Zahid berkata Ayse tidak memahami undang-undang ketika membuat rayuan itu.

"Kita serahkan kepada polis untuk selesaikan perkara itu. Mereka akan putuskan sama ada dia dihantar pulang atau tidak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain