suria

Suburnya Amalan 'Kasta' Hingga Membawa Ke Tandas

PERNAH aku nyatakan sebelum ini, di Doha 80 peratus populasinya (tidak termasuk Qatari) adalah dari warganegara India. Oh, mungkin juga 70 peratus. Ini bukan angka rasmi tetapi secara umumnya begitulah.

Menurut beberapa orang yang telah lama bekerja di sini, memang sejak dulu, warga India memang telah lama menetap di Doha ini. Malahan sebelum-sebelum ini juga matawang Qatar adalah rupee barulah riyal.

Bukan itu sahaja, warganegara Pakistan dan Bangladesh pun boleh tahan juga ramainya. Tetapi tidaklah seramai warga India.

Disebabkan itu, ada satu budaya yang sangat menebal di sini - selain daripada pengaruh elemen barat, seperti hiburan dan benda duniawi - iaitu kasta.

Percaya atau tidak, elemen kasta ini tidaklah terlalu tebal, tetapi cukup ketara dan kadang-kadang menjengkelkan.

Walaupun begitu, satu hal yang aku hormati ialah sifat ihsan mereka terhadap perempuan. Tidak kira di mana, perempuan akan mendapat perhatian dan ihsan.

Sebagai contoh, jika kau di dalam barisan yang panjang, dan tiba-tiba datang seorang perempuan, dia dibenarkan untuk memotong barisan tersebut.

Lebih-lebih lagi jika perempuan itu membawa kanak-kanak. Dan tiada siapa akan mempersoalkan tindakan tersebut.

Malahan, keistemewaan ini tidak tertakluk kepada wanita Qatari sahaja, tetapi semua wanita tanpa mengira bangsa apa.

Aku kira sifat ini sudah pupus tertutama di negara kita. Lihatlah sekeliling kita, betapa sifat ihsan kepada kaum hawa terlalu nipis di dalam jiwa kita. Sebab itu, keistimewaan hak wanita yang telah ada di Islam itu sudah cukup sempurna. Tidak perlu diperjuangkan lagi.

Berbalik kepada soal kasta tadi, ada beberapa perkara yang pernah terjadi di tempat kerja amnya yang bersangkutan dengan pengaruh ini.

Soal minta cuti, pandangan pihak pengurusan terhadap jurutera dan mekanik serta cara menangani masalah yang lahir daripada mekanik dan jurutera.

Jika kau seorang mekanik, akan terbit beberapa soal jawab yang kadang-kadang tidak munasabah. Dan pernah juga diselangi dengan ugutan yang tidak masuk akal.

Jika kau seorang jurutera dan memohon cuti, yang perlu dihadapi cuma senyuman, anggukkan dan geleng-geleng kepala tanda tiada masalah.

Sebagai seorang yang dibesarkan di Malaysia dengan corak pemikiran yang amat berbeza, perkara kasta ini memang satu kejutan.

Perkara ini tidak tertakluk di tempat kerja sahaja, sebaiknya di hospital kerajaan atau di tempat urusan rasmi selalu juga berlaku. Layanan yang tidak sepatutnya selalu juga diterima.

Hanya beberapa tahun saja lagi untuk tiba ke tahun 2020, perkara seperti ini masih mekar dan segar di sini. Dan kadang-kadang bukan sahaja dari pihak pengurusan, tetapi sesama mekanik juga berlaku.

Pangkat memang sesuatu yang mengasyikkan. Kalau dipacu dengan baik, maka baiklah hasilnya, tetapi jika disulami dengan niat tidak betul seperti bongkak atau mengharap sanjungan, maka kebencianlah yang akan timbul di kemudian hari.

Pengkelasan mengikut tangga gaji dan pangkat, membawa kau ke dunia baru. Mekanik wajib tunduk kepada ketua mekanik. Ketua mekanik wajib tunduk kepada jurutera. Jurutera wajib tunduk kepada pihak pengurusan, dan begitulah seterusnya.

Hakikatnya, memanglah kita kena hormat kepada ketua kita, tetapi cara hormat di sini sudah memasuki tahap baru. Ia adalah fasa yang amat menjengkelkan.

Apa nak buat, perkara ini sudah menebal. Dan kau sebagai orang asing di tanah asing tidak punya banyak pilihan kecuali terpaksa memejamkan mata dan pekakkan telinga.

Kau jadilah diri kau sebaik mungkin, dan tak perlu campur urusan pengkastaan ini. Biarkan sahaja ia seperti ribut pasir yang kadang-kadang datang melanda di tengah bandar raya.

Berdiri tegak, pejamkan mata, tutup mulut dan telinga, dan berdoa ribut tersebut cepat berlalu dan tiada pasir yang memasuki rongga di tubuh kau.

Tetapi itulah, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Walau sekuat mana aku cuba menolak fahaman ini, ia datang juga dan setepek aku kena di muka pada hari itu.

Hari itu, aku tekun bekerja sehingga tidak sempat ke tandas. Akhirnya setelah tidak tahan ingin membuang air kecil, aku berhenti kerja sekejap, tinggalkan segala peralatan dan bergegas ke bilik air.

Setiba di tandas, semua bilik penuh dan aku pun berbaris menunggu giliran. Di depan aku ada lagi empat pekerja yang bekerja di bahagian infrastruktur dan pembersihan.

Jika mengikut kasta pangkat dan gaji, aku lebih atas daripada mereka. Tapi jika mengikut kemanusiaan, tiada apa yang perlu dikastakan. Kau lambat, maka beratur sahajalah. Setidaknya itulah yang aku fikirkan.

Aku beratur tanpa mengharap apa-apa kecuali aku tidak terkucil di situ.

Selang beberapa minit, satu pintu bilik tandas dibuka. Dan seharusnya yang beratur di hadapanlah asuk dahulu, bukannya yang kedua atau ketiga atau aku ini yang kelima.

Tanpa diduga, semua yang beratur di hadapan aku memandang aku dan menyuruh aku masuk. Aku menolak pelawaan tersebut dengan senyuman sambil berkata: Tak apalah, tidak.

“Anda mudir,” kata salah seorang mereka.

“Ya, ya mudir masuk dahulu,” sambut yang lain.

Alahai, tidak pernah pula aku berada di situasi begini. Lama juga kami berbalah.

“Saya bukan mudir, saya sama seperti anda pekerja biasa,” kata aku.

“Tidak, tidak, anda mudir, anda masuk dulu,” kata mereka lagi.

Nak tak nak dan disebabkan malas mahu berbalah lagi, aku masuk jugalah meninggalkan mereka di dalam barisan.

Itulah pertama kali aku membuang air kecil dengan perasaan tidak ikhlas. Tidak rela benar aku diperlakukan sebegitu rupa. Ia fahaman yang amat menjengkelkan.

Tapi dari segi positif, fahaman ini telah mewjudkan budaya lain yang aneh tetapi mesra, iaitu amalan memberi salam, mengucap selamat dan bersalam setiap pagi dan setiap kali berselisih.

Selalunya, setiap pagi apabila berjumpa dengan pasukan kerja, kau perlu berjabat tangan sambil mengucap salam atau selamat pagi ke setiap orang.

Dan pada bila-bila masa selepas itu jika kau berjumpa atau berselisih dengan seseorang yang sudah kau jabat tangannya beberapa minit lalu, kau masih akan berjabat tangan dan memberikan salam lagi.

Ini mungkin budaya yang perlu disuburkan di negara kita baik di mana-mana saja.

Tidak perlulah kita menular-nularkan berita yang tidak sahih, bersifat jahat atau perkauman. Kita mesti hidup bersama dalam harmoni. Biarkan politikus sahaja bersifat jahat dan perkauman, jangan kita.

Doha, kasta, riyal

Artikel Sebelum

Artikel Lain