suria

Pemuda PAS Dakwa Guan Eng Sesat

SHAH ALAM: Pemuda PAS membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa parti Islam itu sesat kerana menganggap DAP sebagai musuh utama.

Naib Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan Guan Eng memerlukan pembetulan kerana hakikatnya beliau yang telah sesat.

"Menyifatkan mengundi PAS sama dengan mengundi Umno secara realitinya telah mengisytiharkan PAS sebagai musuh. Ini kerana bukankah selama ini tuan (Guan Eng) tidak pernah berganjak daripada menyatakan bahawa Umno ialah musuh utama?

“Bermusuh dengan Umno sehingga tidak boleh sama sekali pemimpin PAS sepentas dengan pemimpin Umno (walaupun tuan sendiri kelihatan makan semeja dan ia halal di sisi tuan dan rakan-rakan),” katanya dalam kenyataan Selasa.

Semalam, Guan Eng menyifatkan tindakan PAS mengisytiharkan DAP sebagai musuh utama pada PRU14 menunjukkan parti itu sesat dalam berpolitik.

Ini susulan kenyataan perwakilan PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah dalam muktamar lalu, bahawa BN bukan lagi musuh utama PAS sebaliknya DAP kerana jelas menentang agenda Islam.

Kata Ahmad Fadhli, kenyataan yang disebut oleh Yusni tidak bererti ia merupakan pendirian parti.

“Muktamar PAS berjalan dengan semangat demokratik dan membenarkan perwakilan melontarkan pandangan tanpa perlu menggelar dirinya sebagai parti demokratik,” katanya.- Sinar Harian

Guan Eng, PAS

Artikel Lain