suria

Tiada Sebab Ikut Telunjuk PKR - Pemuda PAS

Ketua DPP yang baharu, Muhammad Khalil Abdul Hadi (tengah), Timbalan DPP, IR Khairil Nizam Khirudin (sebelah kanan Muhammad Khalil) dan Naib Ketua DPP, Ahmad Fadhli Shaari (kiri Muhammad Khalil) menjawab soalan pihak media pada sidang media sebaik selesai Murtamar Dewan Pemuda PAS ke-58 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di Alor Setar, pada Jumaat.

ALOR SETAR: Gertakan PKR terhadap PAS supaya melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri Selangor ternyata tidak menggentarkan Pemuda PAS yang menggesa agar kedua-dua parti itu bakal 'bercerai talak tiga'.

Ketua Pemuda PAS yang baharu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, exco PAS yang masih berkhidmat dalam kerajaan Selangor tidak perlu meletakkan jawatan kerana mereka tidak dilantik oleh PKR mahupun DAP.

Malah dengan nada sinis, Muhammad Khalil berkata, secara faktanya, PAS memiliki kerusi (Dewan Undangan Negeri) lebih banyak yang dimenangi di Selangor berbanding PKR iaitu 15 kerusi berbalas 14 kerusi.

"Oleh kerana itu, mereka (exco PAS) perlu meneruskan tugas mereka kepada rakyat.

"Masing-masing bekerja untuk rakyat, bukannya parti.

"Exco PAS mengiku amanah parti iaitu berkhidmat untuk rakyat dan tiada sebab mereka perlu mengiku telunjuk PKR," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution menggesa PAS untuk melepaskan semua jawatan kerajaan Selangor jika parti itu memutuskan hubungan dengan PKR.

Gesaan itu dibuat selepas PAS dilihat seolah-olah menyerang parti itu semasa persidangan muktamar termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Seramai tiga exco kerajaan Selangor terdiri daripada ahli PAS iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor (Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar); Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi); serta Zaidy Abdul Talib (Exco Infrastruktur Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Sementara itu, mengulas tentang peranan mengemudi pucuk pimpinan baharu Pemuda Pas, Muhammad Khalil berkata, kepimpinan tersebut akan terus meneraju sayap parti ke landasan yang betul terutamanya berdepan Pilihan Raya Umum ke-14.

Jelasnya, kepimpinan baharu tersebut menggabungkan tiga kelompok penting dalam PAS iaitu golongan agama, profesional dan aktivis.

"Daripada keseluruhan exco yang dipilih, tiga daripadanya merupakan wakil Kelantan dan ini menunjukkan petanda bahawa kita bersedia mempertahankan Kelantan pada PRU14.

"Kita juga menumpukan agenda yang diperkatakan oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (bekas Ketua Pemuda PAS) dalam ucaptamanya, khususnya tujuh agenda anak muda yang merupakan isi penting dalam kepimpinan kita selama sepenggal ini," kata beliau.


PAS, PKR, Saifuddin Nasution

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain