suria

Nik Abduh Bimbang Amalan Calon Tarik Diri

Nik Abduh bersama penggantinya selaku Ketua DPPP, Muhammad Khalil Abdul Hadi (tengah) bersama kepimpinan dan perwakilan Pemuda PAS sebaik selesai Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kompleks PAS Kedah, Jumaat.

ALOR SETAR: Pemilihan Dewan Pemuda PAS ke-58 yang berlangsung di sini pada Jumaat menyaksikan tujuh calon menang tanpa bertanding dalam perebutan jawatan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) sesi 2017-2019.

Perkembangan itu ternyata menggusarkan Nik Mohamad Abduh Nik Aziz yang melontarkan isu itu pada ucapan penangguhan sebelum melepaskan jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat apabila meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan calon terlibat.

Kata Nik Abduh, pada mulanya, ramai wakil dicalonkan untuk bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS pada kali ini untuk dibawa ke peringkat pusat.

Namun katanya, seorang demi seorang calon menarik diri sehingga tinggal 14 calon sahaja yang bertanding dan dua calon terpaksa disingkirkan bagi mencukupkan 12 jawatan dalam jawatankuasa tersebut.

"Saya melihat pemilihan pada kali ini sudah hilang suasana demokrasi kerana ramai dilihat menarik diri daripada bertanding pada jawatan yang dipertandingkan.

"Saya bimbang jika ini berterusan amalan demokrasi dalam parti akan hilang dalam PAS dan untuk pemilihan seterusnya saya mahukan sekurang-kurangnya lebih daripada 20 calon yang dapat bertanding," katanya.

Pengumuman pada sesi perbahasan Dewan Pemuda PAS di Kompleks PAS di sini, Jumaat menyaksikan Kamal Ashaari menang tanpa bertanding untuk jawatan Pengerusi Tetap.

Timbalannya, Dr. Riduan Mohd Nor turut menang tanpa bertanding pada sesi pemilihan tersebut.

Lima lagi calon yang menang tanpa bertanding adalah Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ir Khairil Nizam Khiruddin (Timbalan Ketua), Ahmad Fadhli Shaari (Naib Ketua), dan dua pemeriksa kira-kira, Mohd Shahir Abu Hassan dan Muhammad Ali Rajaie Jamaludin.


Nik Abduh, Pemuda PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain