suria

Lelaki Cedera Dimuka, Tandas Meletup Semasa Nyala Api Rokok

KUANTAN:Seorang lelaki cedera di muka akibat letupan kecil semasa mahu menyalakan api rokok ketika berada di dalam tandas di sebuah hotel di Genting Highlands dekat sini, Rabu.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Penguasa Kanan Bomba Yusri Abdullah Sani berkata, kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia 40-an itu melecur di muka.

"Pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian pada kira-kira 11.09 pagi mendapati terdapat kesan letupan dan kebakaran di dalam bilik tandas itu," katanya semasa dihubungi di sini, Rabu.

Yusri berkata letupan itu turut menyebabkan kerosakan pada dinding, siling dan kawasan yang terletak dalam jarak kira-kira lime meter dari tandas berkenaan.

Katanya siasatan awal mendapati tandas itu adalah bagi kegunaan kakitangan hotel dan terletak di bahagian bawah hotel berkenaan, namun tidak digunakan buat masa sekarang kerana kerja-kerja penyelenggaraan.

"Kita tidak menolak kemungkinan letupan itu berpunca daripada tindak balas api serta gas yang terdapat dalam tangki septik tandas itu.

"Bagaimanapun, Unit Forensik bomba dari Kuantan sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

Identiti mangsa masih belum diperoleh.-- Bernama 

Artikel Sebelum

Artikel Lain